PH Johor cadang PRN dan PRU diadakan serentak bagi jimat kos, lancar pentadbiran

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) Johor mengusulkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang diadakan secara serentak bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta memudahkan urusan pengundian.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hasan berkata, cadangan itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan PH Johor.

Menurutnya, pelaksanaan pilihan raya secara berasingan bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.

“Jika pilihan raya diadakan dua kali, semua parti yang terlibat perlu mencari dana berasingan dan pelaksanaannya dikhuatiri boleh mengganggu urusan pentadbiran kerajaan,” katanya selepas mesyuarat PH Johor serta majlis berbuka puasa bersama media di Johor.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan PH Johor selaku blok pengimbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat melalui Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng.

Dalam perkembangan lain, Aminolhuda berkata, PH Johor turut menubuhkan empat jawatankuasa sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara Johor menjelaskan, jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Johor Madani, Jawatankuasa Agihan Kerusi, Jawatankuasa Isu dan Komunikasi serta Jawatankuasa Penyelaras Menteri Persekutuan.

“Kita melantik individu yang berpengalaman, termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengetuai jawatankuasa ini bagi memperkemas gerak kerja parti menghadapi pilihan raya,” katanya.

Tambah beliau, Jawatankuasa Johor Madani akan dipengerusikan bekas ADUN Bukit Naning yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Ysahrudin Kusni.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional memperoleh 40 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

PRN Johor yang seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan Jun tahun hadapan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *