Cubaan Bunuh Di Kapar: Seorang Suspek Maut, Seorang Cedera Parah Dilanggar 4×4

KLANG – Cubaan membunuh seorang pemandu lori dalam kejadian tembakan di Kampung Perepat, Kapar dekat sini, berakhir dengan seorang suspek maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi kelmarin itu dipercayai dilakukan dua lelaki yang menggunakan taktik penyamaran dengan memakai baju dan seluar hujan serta rambut palsu sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Dalam kejadian itu, suspek yang menunggang motosikal melepaskan dua das tembakan ke arah seorang pemandu lori sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Selepas kejadian, kedua-dua suspek dipercayai cuba melarikan diri sebelum dikejar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun. Kenderaan tersebut kemudian merempuh motosikal suspek berhampiran Jalan Keretapi Lama, Tok Muda di Kapar.

Akibat rempuhan itu, seorang daripada suspek maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang maut berusia lingkungan 30-an dan berasal dari Telok Panglima Garang, Kuala Langat.

“Siasatan mendapati suspek yang mahir menggunakan pistol itu mempunyai 23 rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah dan 13 kes jenayah,” katanya.

Tambah sumber, antara kesalahan lampau suspek termasuk pecah rumah, samun bersenjata secara berkumpulan, pemilikan senjata berbahaya serta kes cubaan membunuh.

Sementara itu, seorang lagi suspek yang cedera parah berusia 30-an didapati mempunyai sekurang-kurangnya 10 rekod jenayah lampau termasuk kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, merusuh, khianat menggunakan objek berbahaya serta samun bersenjata.

Suspek berkenaan juga dikehendaki polis kerana dipercayai terlibat sebagai ahli kumpulan jenayah terancang.

Difahamkan, suspek yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan paha kini dirawat di wad kecemasan HTAR.

Polis turut menahan pemandu pacuan empat roda berusia 49 tahun yang merempuh motosikal suspek bagi membantu siasatan. Lelaki itu dilaporkan mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes membunuh.

Sumber berkata, tindakan lelaki terbabit merempuh motosikal itu dipercayai berlaku selepas salah seorang suspek mengacukan pistol ke arahnya ketika dikejar.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan awal mendapati insiden bermula apabila dua suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja kepada pemandu kenderaan terbabit di Kampung Perepat.

Menurut beliau, pemandu kenderaan berkenaan kemudian bertindak mengejar motosikal suspek sehingga ke Jalan Keretapi Lama sebelum berlaku insiden rempuhan.

“Apabila salah seorang individu yang menunggang motosikal itu mengacukan objek menyerupai pistol, pemandu kenderaan terbabit bertindak melanggar motosikal itu sehingga kedua-dua suspek terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *