Tabayyun Dalam Era Media Digital: Antara Klik, Spekulasi Dan Tanggungjawab Sosial

Oleh: Dr. Rosninawati Hussin

DALAM dunia yang dikuasai media sosial dan kewartawanan digital, maklumat bergerak begitu pantas sehingga apa sahaja yang berlaku boleh menjadi “berita” dalam sekelip mata hanya dengan satu muat naik, tangkapan skrin atau rakaman video.

Namun, kepantasan ini datang dengan harga yang mahal: kebenaran sering dikorbankan demi perhatian dan pertimbangan moral sering tenggelam dalam gelombang sensasi.

Dalam konteks inilah konsep tabayyun, iaitu prinsip pengesahan maklumat dalam Islam, menjadi sangat relevan dan diperlukan dalam kehidupan bermedia masyarakat hari ini.

Tabayyun sebagai etika komunikasi awam

Konsep tabayyun berpaksikan firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 6, yang menyeru umat Islam agar menyemak dan memastikan kebenaran sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.

Prinsip ini bukan sekadar tuntutan agama, malah berfungsi sebagai mekanisme sosial yang penting untuk mencegah kezaliman, fitnah dan kekacauan dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam masyarakat digital, tabayyun boleh difahami sebagai satu bentuk etika komunikasi awam iaitu satu disiplin untuk menahan diri, menyemak fakta dan memikirkan kesan sebelum menekan butang “kongsi”.

Namun realitinya, landskap media hari ini bergerak ke arah yang bertentangan. Platform digital seperti TikTok, Facebook dan pelbagai portal berita dalam talian beroperasi dalam ekonomi perhatian, di mana klik, tontonan dan perkongsian menentukan kelangsungan sesebuah kandungan.

Algoritma pula cenderung mengangkat kandungan yang mencetuskan emosi seperti marah, simpati, takut atau terkejut yang mendorong pengguna untuk berinteraksi.

Maka, lahirlah budaya clickbait dan spekulasi, di mana tajuk sensasi dan naratif separuh benar lebih cepat tersebar daripada laporan yang teliti dan beretika.

Individu menjadi “editor”

Realiti masa kini menunjukkan masyarakat bukan lagi sekadar pengguna media, malah turut menjadi pengeluar dan penyebar maklumat. Justeru, setiap individu perlu berperanan sebagai “editor” yang bertanggungjawab terhadap setiap kandungan yang dikongsikan.

Tanpa tabayyun, proses ini mudah bertukar menjadi trial by media, iaitu keadaan di mana seseorang atau sesuatu peristiwa dihakimi oleh khalayak ramai sebelum fakta sebenar diketahui.

Kesan sosialnya amat besar, reputasi boleh musnah, keluarga tertekan, dan masyarakat terperangkap dalam gelombang emosi kolektif yang sukar dikawal.

Kes kematian pelajar sekolah agama di Papar, Sabah, Zara Qairina Mahathir yang berlaku pada 16 Julai tahun lepas, menjadi contoh jelas bagaimana kegagalan tabayyun dalam ruang digital boleh mencetuskan ketidakadilan sosial.

Dalam tempoh yang singkat, media sosial dipenuhi spekulasi tentang punca kematiannya, pihak yang harus dipersalahkan, dan pelbagai naratif yang tidak disahkan.

Walaupun siasatan rasmi masih berjalan, “mahkamah media sosial” telahpun menjatuhkan hukuman.

Hal ini bukan sahaja menzalimi individu yang terlibat, malah mencederakan sensitiviti masyarakat dan keluarga mangsa.

Fenomena ini bukan unik kepada Malaysia. Kes Lindy Chamberlain di Australia pada tahun 1980-an menunjukkan bagaimana media dan persepsi awam boleh mengheret seseorang ke dalam kesalahan yang tidak pernah dilakukan.

Beliau disabitkan bersalah bukan semata-mata berdasarkan bukti yang kukuh, tetapi kerana gambaran negatif yang dibentuk media, dan walaupun beliau akhirnya dibebaskan, namun kerosakan sosial serta emosi yang dialaminya tidak pernah benar-benar terpadam.

Perbandingan ini mengingatkan kita bahawa tanpa prinsip pengesahan dan keadilan, media, sama ada tradisional atau digital, boleh menjadi alat ketidakadilan.

Scammer dan budaya percaya tanpa siasat

Kegagalan mengamalkan tabayyun bukan hanya terlihat dalam kes-kes tular yang melibatkan tragedi atau kontroversi awam, tetapi juga dalam fenomena scammerdigital yang semakin berleluasa.

Ribuan rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan kewangan melalui panggilan palsu, mesej WhatsApp, pelaburan kripto tiruan dan akaun e-dagang rekaan, semuanya berpunca daripada kepercayaan terhadap maklumat yang tidak disahkan.

Scammer bukan sahaja mengeksploitasi teknologi, malah emosi manusia seperti ketakutan, harapan dan kesempitan hidup. Apabila masyarakat tidak dibekalkan dengan budaya tabayyun iaitu menyemak sumber, mengesahkan identiti, dan menilai kesahihan maklumat, maka mudah dimanipulasi oleh scammer.

Dalam konteks ini, tabayyun bukan sekadar isu agama atau etika media, tetapi satu mekanisme perlindungan sosial yang boleh menyelamatkan maruah, kestabilan kewangan dan kesejahteraan psikologi masyarakat.

Literasi media dan moral

Dalam Islam, komunikasi tidak pernah dianggap sebagai sesuatu yang neutral, sebaliknya terikat dengan nilai amanah (kepercayaan), keadilan (‘adl) dan hifz al-‘ird, iaitu tanggungjawab memelihara maruah manusia.

Menyebarkan maklumat tanpa tabayyun bukan sekadar satu kesilapan teknikal, tetapi kegagalan moral yang boleh mencederakan individu dan masyarakat. Dalam dunia digital, setiap klik dan perkongsian membawa implikasi etika yang nyata.

Menariknya, prinsip tabayyun sejajar dengan nilai teras kewartawanan profesional seperti ketepatan, pengesahan dan meminimumkan mudarat.

Bezanya, Islam meletakkan tanggungjawab ini bukan hanya pada wartawan, tetapi pada setiap individu sebagai pengguna dan penyebar maklumat.

Dalam ekosistem media hari ini, setiap pengguna adalah sebahagian daripada rantaian komunikasi awam yang dinamik.

Persoalannya kini adalah bagaimana tabayyun boleh diamalkan dalam dunia yang bergerak sepantas satu sentuhan skrin?

Jawapannya bermula dengan pendidikan dan kesedaran. Masyarakat perlu dibina dengan literasi media dan literasi moral iaitu bukan sahaja untuk mengenal pasti berita palsu, tetapi untuk menilai kesan sosial setiap perkongsian.

Pada peringkat institusi, organisasi media perlu kembali kepada prinsip tanggungjawab sosial: bahawa peranan mereka bukan sekadar menarik perhatian, tetapi membina kepercayaan awam.

Akhirnya, dalam dunia yang penuh dengan suara dan sensasi, tabayyun mengajak kita untuk berhenti seketika dan berfikir.

Ia mengingatkan bahawa keamanan sosial tidak lahir daripada kelajuan, tetapi daripada kebenaran dan keadilan.

Dapat disimpulkan bahawa, dalam era media digital yang dipenuhi spekulasi dan penipuan, amalan tabayyun mungkin kelihatan lambat dan tidak popular. Namun, keberanian moral untuk menyemak dan memastikan kebenaran sebelum menyebarkan sesuatu maklumat amat penting bagi membina masyarakat yang lebih adil, berempati dan sejahtera.

Dr. Rosninawati Hussin ialah Ahli Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *