PETALING JAYA – Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim menegur Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghentikan polemik dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sebaliknya menumpukan usaha membina semula kekuatan parti itu yang dilihat semakin rapuh.
Kata beliau, keutamaan Muhyiddin ketika ini sepatutnya memulihkan struktur parti selepas beberapa krisis dalaman yang melemahkan kepimpinan dan organisasi Bersatu.
“Presiden Bersatu elok tumpu dahulu kepada rumah yang baharu dilanda ribut. Tiang yang tinggal tidak seberapa dan banyak yang sudah goyang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kenyataan Rais itu dibuat susulan pertukaran kenyataan antara Muhyiddin dan Samsuri mengenai calon perdana menteri bagi gabungan PN menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia (PRU) ke-16.
Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan berkata, pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN tidak bermakna beliau secara automatik menjadi calon Perdana Menteri gabungan itu.
Samsuri bagaimanapun menegaskan, keutamaan ketika ini ialah memperkukuh PN menghadapi PRU akan datang sambil menyatakan Muhyiddin juga bukan lagi calon perdana menteri.
Dalam pada itu, Rais turut menggesa Muhyiddin memberi tumpuan kepada usaha menyatukan masyarakat Melayu yang kini berpecah dalam pelbagai parti politik.
Menurutnya, orang Melayu kini berpecah kepada kira-kira lapan parti, sedangkan masyarakat Cina mempunyai dua parti utama iaitu DAP dan MCA.
Beliau turut mencadangkan agar usaha mendekati UMNO dipertimbangkan semula, sambil menyindir Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mempunyai aspirasi politik tersendiri.
Rais berkata, pemilihan Perdana Menteri akhirnya bergantung kepada parti yang memperoleh kerusi Parlimen terbanyak, sambil menyatakan Pas ketika ini memiliki jumlah kerusi terbesar dalam PN dengan 43 kerusi Parlimen.
Beliau turut mengingatkan Muhyiddin mengenai kedudukan Bersatu yang semakin terhakis selepas beberapa tindakan disiplin parti, selain khabar angin sebahagian Ahli Parlimen yang tinggal memberi sokongan kepada bekas Timbalan Presiden yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada 14 Februari lalu, Rais meletakkan jawatan sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa Bersatu yang ditubuhkan bagi memperkukuh perpaduan parti, sehari selepas Bersatu memecat 17 pemimpinnya termasuk Hamzah.
Sementara itu, Ahmad Zahid hari ini menyatakan pintu UMNO terbuka tanpa syarat kepada bekas ahlinya dalam semangat Ramadan, malah menegaskan semua perbezaan dan kesilapan lampau boleh dimaafkan.
Beliau sebelum ini juga menyatakan parti itu bersedia menerima semula bekas ahli, termasuk Hamzah, sekiranya mereka ingin kembali.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L