Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad dan Dr. Nurazah Ismail

AUTISM Spectrum Disorder (ASD) adalah isu perkembangan neurologi yang lazim di kalangan kanak-kanak. Peningkatan kes ASD dewasa bukan bermaksud individu tersebut ”baru tahu dirinya ASD”, akan tetapi ciri-ciri ASD yang wujud sejak kecil berkemungkinan mempunyai manifestasi klinikal yang lebih halus dan tidak ketara.
Kebanyakan daripada mereka mempunyai keupayaan intelektual normal atau tinggi serta tidak mempunyai kelewatan perkembangan bahasa jelas. Oleh itu, mereka masih mampu menjalankan aktiviti harian, mengikuti kelas-kelas di sekolah menyebabkan ciri-ciri ASD sering terlepas pandang di kalangan ibu bapa, guru dan orang sekeliling di peringkat awal.
Dalam literatur terdahulu, kumpulan ini sering dirujuk sebagai high-functioning autism atau Asperger’s disorder dan tidak lagi digunakan sebagai diagnosis berasingan dalam DSM-5.
Walaupun individu ini kelihatan dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam kehidupan seharian, keadaan tersebut sebenarnya berpunca daripada perbezaan perkembangan otak yang telah wujud sejak awal kehidupan.
Manifestasi klinikal yang lebih halus bukan bermaksud ASD mereka lebih ringan, sebaliknya mencerminkan bagaimana perubahan neurobiologi tertentu membolehkan sesetengah individu mengembangkan strategi kompensasi sehingga ciri-ciri ASD tidak mudah dikenalpasti.
Justeru, pemahaman terhadap mekanisme fisiologi yang mendasari ASD adalah penting bagi menerangkan mengapa sebahagian individu hanya menerima diagnosis apabila dewasa.
Asas Neurofisiologi: Perubahan Connectivity Otak
Dari sudut fisiologi, ASD dikaitkan dengan corak sambungan neuron yang tidak seimbang. Kajian neuroimaging menunjukkan peningkatan local connectivity dalam kawasan tertentu di dalam otak, khususnya yang terlibat dalam pemprosesan maklumat terperinci, manakala long-range connectivity yang menghubungkan pelbagai kawasan otak adalah berkurangan.
Keadaan ini memberi kesan kepada keupayaan integrasi maklumat sosial dan emosi, termasuk pemahaman ekspresi wajah, intonasi suara dan konteks sosial. Bagaimanapun, kelebihan dalam pemprosesan maklumat spesifik sering menjadikan individu dengan ASD lebih teliti dan fokus dalam bidang tertentu.
Ketidakseimbangan Neurotransmitter
ASD juga melibatkan perubahan dalam sistem neurotransmitter (pembawa mesej antara sel saraf di dalam otak), khususnya keseimbangan antara glutamat (eksitatori) dan GABA (inhibitori). Ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan peningkatan aktiviti neuron secara keseluruhan, seterusnya menyumbang kepada fenomena ”sensory overload”.
Selain itu, sistem serotonin dan dopamin turut terlibat dalam regulasi emosi, tingkah laku berulang dan mekanisme ganjaran, yang sering diperhatikan dalam individu ASD.
Pemprosesan Sensori dan Implikasi Klinikal
Dari perspektif fisiologi sensori, individu dengan ASD menunjukkan kepekaan yang berbeza terhadap rangsangan persekitaran. Peranan thalamus sebagai pusat relay (penyampai) sensori menjadi penting dalam konteks ini, di mana penapisan rangsangan mungkin kurang efisien.
Akibatnya, rangsangan biasa seperti bunyi, cahaya atau sentuhan boleh dirasai berlebihan, menyumbang kepada keletihan mental dan tekanan fisiologi.
Disregulasi Sistem Saraf Autonomi
Perubahan dalam sistem saraf autonomi turut diperhatikan, dengan kecenderungan ke arah aktiviti simpatetik yang lebih dominan berbanding parasimpatetik. Keadaan ini mewujudkan respons fisiologi yang menyerupai keadaan tekanan kronik, termasuk peningkatan kadar denyutan jantung dan kewaspadaan berterusan.
Kesan jangka panjang termasuk keletihan, kebimbangan dan kesukaran untuk pulih selepas aktiviti sosial yang insensitif.
Peranan Sistem Stress dan Hypothalamic-Pituitari-Adrenal axis
Disregulasi dalam paksi HPA turut menyumbang kepada variasi dalam rembesan kortisol. Corak rembesan yang tidak konsisten boleh menyebabkan individu lebih terdedah kepada tekanan kronik serta gangguan emosi.
Dalam konteks dewasa dengan diagnosis lewat, tekanan kumulatif akibat keperluan untuk menyesuaikan diri secara berterusan boleh memperburuk keadaan ini.
Perubahan fisiologi ini bukan sahaja mempengaruhi cara individu tersebut memproses maklumat dan bertindak balas terhadap persekitaran, malah ia mempengaruhi bagaimana individu ini menyesuaikan diri dengan tuntutan sosial dari usia kecil.
Oleh itu, ramai individu belajar berhadapan dengan tuntutan sosial dengan cara meniru tingkah laku, ekspresi wajah dan gaya komunikasi rakan sebaya yang dianggap normal tanpa mereka sedari. Fenomena ini dikenali sebagai masking yang melibatkan penggunaan fungsi kognitif aras tinggi, khususnya dalam prefrontal cortex. Walaupun strategi ini berkesan dalam jangka pendek, masking memerlukan penggunaan tenaga mental yang tinggi.
Apabila mereka melangkah ke alam dewasa, tuntutan kehidupan menjadi semakin kompleks dengan peningkatan keperluan untuk berinteraksi, membina hubungan interpersonal, berdikari, melanjutkan pengajian, memasuki alam pekerjaan atau berkeluarga.
Pada tahap ini, strategi masking yang digunakan mungkin tidak lagi berkesan, dan akibat daripada itu, ciri-ciri ASD menjadi lebih ketara dan membawa mereka kepada diagnosis ASD pada usia dewasa.
Akibat daripada tekanan yang berpanjangan, mereka cenderung untuk mengalami isu kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan kebimbangan, kesukaran tidur serta autistic burnout yang semakin mendapat perhatian di kalangan literatur semasa.
Diagnosis ASD bukan bertujuan untuk melabel seseorang, sebaliknya membantu individu tersebut memahami cara mereka berfikir, mengenal pasti kekuatan dan cabaran yang dihadapi, serta membolehkan mereka untuk mendapat sokongan yang lebih inklusif dalam sistem kesihatan.
Pendekatan ini selari dengan konsep neurodiversiti yang mengiktiraf bahawa individu ASD mempunyai corak perkembangan neurologi yang berbeza, bukan semata-mata kekurangan yang perlu diperbetulkan.
Diagnosis ASD juga tidak seharusnya dilihat semata-mata untuk mendapatkan status orang kurang upaya (OKU), tetapi ia merupakan langkah penting untuk memastikan individu menerima penilaian, rawatan dan sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan sama ada di dalam pendidikan, pekerjaan mahupun sistem kesihatan. Persekitaran yang inklusif adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup individu terlibat.
Kesimpulan
ASD dalam kalangan dewasa dengan diagnosis lewat harus difahami sebagai manifestasi perubahan fisiologi yang kompleks, melibatkan interaksi antara sistem saraf pusat, sistem sensori dan mekanisme stress.
Pemahaman yang lebih mendalam dari sudut fisiologi bukan sahaja membantu dalam diagnosis yang lebih tepat, tetapi juga membuka ruang kepada intervensi yang lebih berkesan dan berfokus kepada keperluan individu agar mereka boleh mencapai potensi secara optimum.
Rujukan:
O’Nions, E., Petersen, I., Buckman, J. E. J., Charlton, R., Cooper, C., Corbett, A., Happé, F., Manthorpe, J., Richards, M., Saunders, R., Zanker, C., Mandy, W., & Stott, J. (2023). Autism in England: assessing underdiagnosis in a population-based cohort study of prospectively collected primary care data. The Lancet regional health. Europe, 29, 100626. https://doi.org/10.1016/j.lanepe.2023.100626
Higgins, J. M., Arnold, S. R., Weise, J., Pellicano, E., & Trollor, J. N. (2021). Defining autistic burnout through experts by lived experience: Grounded Delphi method investigating# AutisticBurnout. Autism, 25(8), 2356-2369.
Penulis, Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Pensyarah Fisiologi Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad, Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM & Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.; dan Dr. Nurazah Ismail, Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM & Pakar Psikiatri, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L