Pelakon drama ‘Nur’, suami direman tiga hari bantu siasatan kes tipu tanah RM1.5 juta

SEREMBAN – Seorang pelakon wanita yang pernah membintangi drama Nur bersama suaminya direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan urusan penjualan tanah membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah selepas permohonan dibuat pihak polis.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota polis.

Ketika diiring keluar dari lokap mahkamah, pelakon wanita berkenaan sempat berpesan kepada pengamal media supaya melaporkan perkara yang tepat.

“Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih,” katanya ringkas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pasangan suami isteri itu ditahan semalam di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis berkaitan kes penipuan yang diterima di daerah ini.

“Pasangan tersebut ditahan di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.

“Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Azahar berkata, mangsa dalam kes itu adalah seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga pesara ahli perniagaan yang sebelum ini menjalankan perniagaan pembangunan hartanah.

Menurutnya, mangsa dipercayai diperdaya rakannya dalam urusan mendapatkan beberapa lot tanah yang didakwa sebagai tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor.

“Siasatan awal mendapati mangsa pada 21 September 2023 telah ditawarkan oleh seorang lelaki untuk mendapatkan beberapa lot tanah di Selangor di bawah Mukim Cheras yang didakwa berstatus tanah kurniaan kerajaan negeri.

“Mangsa kemudian berurusan dengan suspek dan melakukan beberapa transaksi bayaran,” katanya.

Beliau berkata, suspek didakwa memberikan akaun bank milik bapanya serta akaun bank isterinya bagi menerima bayaran bagi tujuan mendapatkan lot tanah yang dijanjikan, dengan jumlah keseluruhan transaksi kira-kira RM1.5 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini seorang usahawan produk kecantikan turut mendakwa menjadi mangsa penipuan pasangan berkenaan melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Dakwaan itu dibuat menerusi hantaran di aplikasi Threads oleh seorang pengguna yang menggunakan nama akaun kakbeyna_official, yang mendakwa mengalami kerugian sekitar RM300,000 selain mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit.

Beberapa laporan polis juga difahamkan telah dibuat oleh mangsa berhubung kes berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *