Teknologi AI: Bukan Satu Ancaman, Tapi Peluang Pemerkasaan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Negara

Oleh: Noraini Sapuan

DALAM era Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) kini menjadi antara teknologi paling berpengaruh dalam membentuk landskap dunia.

AI bukan sekadar mampu mencipta kemudahan dan kepantasan, malah ianya dilihat mempunyai potensi besar dalam mengubah cara manusia berfikir, bekerja dan membuat keputusan.

Namun demikian, masih wujud kebimbangan terhadap penggunaan teknologi ini bakal menjadi ancaman terhadap pekerjaan, keselamatan data dan autonomi manusia pada masa akan datang.

Sebenarnya, jika penggunaan AI ini diterapkan dengan penuh bertanggungjawab dengan berpaksikan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, teknologi ini bukanlah satu cabaran atau ancaman kepada agensi kerajaan mahupun kepada perkembangan dan pembangunan negara.

Malah, ianya merupakan satu peluang besar dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang, mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan serta memastikan pelanggaran peraturan dan jenayah dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Dengan perkembangan teknologi AI yang kian pesat, ianya mampu menjadi alat bantu dalam memantapkan sistem tadbir urus organisasi melalui analisis data pintar yang dapat dihasilkan dengan pantas.

Selain itu, sistem AI juga dapat mengenal pasti corak ketidakpatuhan, penyelewengan, atau salah guna kuasa dengan lebih awal sebelum sesuatu isu menjadi serius.

Sebagai contoh dalam penggunaan teknologi AI, inisiatif pihak agensi penguatkusaan dalam penggunaan algoritma pintar sebagai medium pemantauan transaksi kewangan boleh membantu mengesan aktiviti luar biasa yang berpotensi berkait dengan rasuah atau pengubahan wang haram dengan cepat.

Teknologi ini juga membolehkan agensi menilai risiko integriti dan rasuah secara menyeluruh dengan menggabungkan pelbagai sumber yang sedia ada dalam membuat keputusan yang lebih objektif dan berasaskan bukti sehingga terhasilnya pelan tindakan dan inisiatif baharu yang boleh dilaksanakan diperingkat organisasi.

Penggunaan teknologi AI ini bukan sahaja mampu meningkatkan ketelusan, malah dapat memperkukuhkan akauntabiliti dalam kalangan warga organisasi selaras dengan aspirasi untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi.

Dalam sektor penguatkuasaan undang-undang, pekembangan penggunaan AI ini membuka dimensi baharu terhadap kecekapan dan ketepatan dalam setiap tindakan mahupun keputusan yang dibuat melalui pendedahan terhadap penggunaan sistem pengecaman wajah, analisis imej dan video, serta ramalan tingkah laku jenayah dalam membantu agensi penguatkuasa bertindak lebih pantas dan tepat tanpa menganiaya mana-mana pihak.

Sebagai contoh dalam perkembangan teknologi AI, penggunaan sistem pemantauan pintar yang berasaskan AI mampu menjejak kenderaan suspek atau mengesan mna-mana aktiviti yang mencurigakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan tepat.

Malah, AI juga boleh digunakan untuk membantu menilai laporan atau aduan awam secara terus bagi menentukan keutamaan terhadap tindakan yang sewajarnya diambil, sekali gus mempercepatkan proses tindakan dan meningkatkan kecekapan operasi agensi.

Dalam sektor yang melibatkan institusi kehakiman seperti di mahkamah pula, sistem AI dapat membantu peguam dan hakim meneliti ratusan kes terdahulu dengan lebih cepat dan tepat seterusnya membantu meningkatkan kompetensi dan kecekapan dalam sebarang tindakan dan keputusan dibuat.

Bagaimanapun, perlu dingatkan teknologi AI ini bukanlah pengganti kepada pertimbangan manusia, sebaliknya ia berfungsi sebagai alat sokongan dalam menegakkan keadilan berdasarkan fakta dan bukti kukuh yang masih memerlukan sentuhan akal dan fikiran secara logik dan rasional manusia.

Seiring dengan perkembangan teknologi AI yang kian pesat mendahului kini ianya perlulah disertai dengan garis panduan etika yang jelas.

Penggunaan AI mestilah berlandaskan nilai integriti, ketelusan, serta menghormati hak asasi individu. Setiap agensi perlu memastikan sistem AI yang digunakan bebas daripada bias, manipulasi data, atau salah guna kuasa.

Selain itu, latihan kesedaran dan pembangunan kompetensi terhadap penggunaan teknologi AI dalam kalangan kakitangan agensi terutamanya penjawat awam juga amat penting.

Mereka perlu diterapkan dan memahami bukan sahaja cara AI berfungsi, malah pendedahan kepada implikasi etika dan undang-undang yang terlibat juga perlu dijelaskan sebagai peringatan dan panduan sebelum mana-mana teknologi AI digunakan.

Hanya dengan pendedahan dan kefahaman ini, teknologi AI dapat digunakan sebaiknya sebagai pemangkin kecekapan dan keadilan dalam organisasi dan ianya bukanlah satu ancaman.

Kesimpulannya, teknologi AI bukanlah ancaman kepada agensi atau sistem penguatkuasaan undang-undang. Sebaliknya, ia merupakan peluang strategik untuk memperkukuh keberkesanan, ketelusan dan integriti dalam perkhidmatan awam.

Dengan pendekatan yang beretika, kawalan data yang rapi serta tadbir urus yang mantap, AI mampu menjadi rakan kolaborasi utama dalam usaha membanteras jenayah, mengukuhkan penguatkuasaan dan menegakkan keadilan di negara ini.

Teknologi AI ini juga bukanlah pesaing manusia, ianya boleh kita anggap sebagai pelengkap kepada kebijaksanaan, nilai moral dan tanggungjawab yang menjadi teras keutuhan perkhidmatan awam berintegriti.

Sebagai penutup “Teknologi tanpa integriti akan kehilangan arah. Integriti tanpa teknologi pula akan ketinggalan zaman. Hanya apabila keduanya bergabung, keadilan dapat ditegakkan dengan bijaksana.”

Penulis, Noraini Sapuan adalah Pegawai Tadbir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *