KUANTAN – Seorang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan berkaitan tindakan memijak al-Quran dan memuat naik komunikasi berunsur jelik di media sosial.
Tertuduh, S. Vikneswaran, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad dan memohon supaya kes tersebut dibicarakan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, beliau turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharizat Ismail.
Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan sekitar jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis sebelum dibawa masuk ke mahkamah kira-kira 15 minit kemudian dalam keadaan tangan bergari dan dikawal ketat anggota keselamatan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan hasil penelitian terhadap kertas siasatan mendapati wujud bukti mencukupi untuk mendakwa lelaki berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mencemarkan al-Quran dengan niat menghina agama tersebut di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan pada 22 Februari 2026.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa secara sedar memuat naik dan menghantar komunikasi melampau sifatnya menerusi aplikasi Threads menggunakan akaun “RYANDASELVA” pada tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 233(2), jika sabit kesalahan.
Difahamkan, susulan insiden tersebut, sebanyak 82 laporan polis telah dibuat di seluruh negara dan 43 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L