ISLAMABAD – Pakistan melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama di Afghanistan, termasuk ibu negara Kabul, dengan Menteri Pertahanannya mengisytiharkan kedua negara kini berada dalam keadaan “perang terbuka” selepas berbulan pertempuran balas membalas di sempadan.
Pasukan Afghanistan menyerang tentera sempadan Pakistan pada malam Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan udara maut sebelum ini, menurut kerajaan Taliban.
Wartawan AFP di Kabul dan Kandahar melaporkan, bunyi letupan dan pesawat pejuang berlegar di udara.
Hubungan kedua-dua negara merosot sejak beberapa bulan lalu, dengan kebanyakan lintasan sempadan darat ditutup selepas pertempuran maut pada Oktober yang mengorbankan lebih 70 orang di kedua-dua pihak.
Islamabad menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, dakwaan yang dinafikan kerajaan Taliban.
Beberapa pusingan rundingan diadakan selepas gencatan senjata awal yang diusahakan oleh Qatar dan Turkiye, namun gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Kedua-dua tentera mendakwa puluhan anggota terbunuh dalam keganasan terbaharu di sempadan, susulan beberapa serangan Pakistan ke atas Afghanistan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar menyatakan, sasaran pertahanan Taliban diserang di Kabul, Wilayah Paktia dan Kandahar, manakala Menteri Pertahanan, Khawaja Asif mengisytiharkan “konfrontasi menyeluruh” dengan kerajaan Taliban.
“Kesabaran kami sudah sampai ke hadnya. Kini ia adalah perang terbuka antara kami dan kamu,” katanya di media sosial.
Di Kabul, wartawan AFP melaporkan bunyi pesawat pejuang dan beberapa letupan kuat selama lebih dua jam.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, mengesahkan serangan udara Pakistan tetapi berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kementerian Pertahanan Afghanistan memaklumkan, lapan tenteranya terbunuh dalam serangan darat di sempadan.
Seorang pegawai Wilayah Nangarhar berkata, beberapa orang awam cedera berhampiran lintasan sempadan Torkham selepas sebuah peluru mortar mengenai kem pelarian, mencederakan tujuh orang termasuk seorang wanita dalam keadaan serius.
Awal minggu ini, misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan melaporkan, sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh dalam serangan Pakistan ke atas Wilayah Nangarhar dan Paktika.
Kerajaan Taliban pula mendakwa, sekurang-kurangnya 18 orang maut dan menafikan dakwaan Pakistan bahawa lebih 80 militan terbunuh.
Ketegangan berterusan walaupun terdapat usaha pengantaraan oleh Arab Saudi bulan ini yang membawa kepada pembebasan tiga anggota tentera Pakistan yang ditahan Afghanistan sejak Oktober. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L