MCW: Tindakan punitif sahaja tidak cukup hapus rasuah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengekalkan keseimbangan antara tindakan punitif yang tegas dan pendekatan pencegahan bagi memastikan usaha membanteras rasuah mencapai keberkesanan jangka panjang.

Pengasas merangkap Timbalan Presiden 2 Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Profesor Datuk GP Doraisamy berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah merupakan fungsi utama SPRM, pendekatan bukan punitif seperti pendidikan dan kesedaran masyarakat adalah sama penting.

Menurut beliau, tindakan tegas semata-mata tidak mencukupi untuk menghapuskan rasuah sekiranya tidak disertai usaha membentuk pemikiran dan nilai integriti dalam kalangan rakyat.

“Kita perlu ada keseimbangan. Tindakan punitif membawa pesalah ke muka pengadilan, namun ia tidak semestinya menutup terus peluang rasuah jika tiada elemen pendidikan dan kesedaran,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV.

Mengulas dakwaan bahawa tindakan SPRM kebelakangan ini bersifat terpilih atau bermotifkan politik, beliau menegaskan bahawa agensi itu bertindak secara profesional dan mengikut standard antarabangsa.

Katanya, setiap tindakan terhadap mana-mana individu atau pihak pasti menimbulkan pelbagai reaksi, namun masyarakat perlu menilai isu secara rasional dan tidak terpengaruh dengan sentimen atau agenda pihak tertentu.

Beliau turut menyeru ahli politik agar melengkapkan diri dengan ilmu pencegahan rasuah dan tidak mempergunakan isu penguatkuasaan demi kepentingan populariti.

Dalam masa sama, MCW komited untuk terus menjadi “mata dan telinga” kepada SPRM dengan menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku rasuah di peringkat akar umbi sebagai usaha bersama membanteras gejala itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *