KUALA LUMPUR – SumiSaujana Group Bhd (SumiSaujana), pengeluar bahan kimia khusus minyak dan gas, mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan pada penghujung tahun dengan hasil melonjak 134.2 peratus kepada RM65.4 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (Suku Keempat Tahun Kewangan 2025).
Angka ini adalah peningkatan ketara berbanding RM27.9 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Lonjakan pendapatan yang mengejutkan ini didorong kuat oleh pasaran tempatan. Jualan di Malaysia menyumbang sebanyak RM38.1 juta, yang mewakili 58.3 peratus daripada keseluruhan pendapatan suku tahunan.
Penyumbang utama kepada kejayaan ini adalah ekoran penyelesaian dan pemenuhan kontrak utama syarikat, yang telah merealisasikan pendapatan sebanyak RM28.3 juta pada suku berkenaan.
“Suku keempat mencerminkan kekuatan keupayaan pelaksanaan kami, terutamanya di Malaysia di mana pemenuhan kontrak memacu pertumbuhan hasil yang besar,” kata Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi.
Dari sudut perbandingan suku ke suku, syarikat itu turut mempamerkan prestasi yang teguh. Hasil didapati meningkat 50.0 peratus berbanding RM43.6 juta pada suku ketiga sebelumnya.
Selari dengan itu, keuntungan sebelum cukai turut melonjak dengan sangat ketara daripada RM0.3 juta kepada RM7.0 juta, yang jelas mencerminkan keupayaan leveraj operasi yang lebih kukuh.
Secara keseluruhannya bagi tahun kewangan penuh yang berakhir pada 31 Disember 2025, SumiSaujana merekodkan peningkatan hasil sebanyak 15.8 peratus kepada RM183.6 juta.
Walaupun mencatatkan hasil yang tinggi, keuntungan sebelum cukai (PBT) tahun penuh syarikat mengalami sedikit penurunan kepada RM12.8 juta. Penurunan ini disumbangkan oleh faktor luar jangka termasuk kerugian pertukaran asing bersih serta perbelanjaan sekali sahaja bagi tujuan penyenaraian.
“Walaupun turun naik mata wang dan campuran produk menjejaskan margin sepanjang tahun, operasi teras kami kekal berdaya tahan. Dengan disiplin kos yang lebih baik, kemudahan yang diperluas di Puncak Alam dan daya tarikan antarabangsa yang semakin meningkat, kami meletakkan Kumpulan untuk meningkatkan kestabilan pendapatan dan daya tahan operasi pada masa hadapan,” jelas Norazlam lagi.
Pasca-penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd., kedudukan kewangan Kumpulan semakin mengukuh. Hal ini dibuktikan dengan jumlah tunai dan setara tunai syarikat yang melonjak kepada RM90.5 juta pada 31 Disember 2025 berbanding RM28.6 juta tahun sebelumnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L