KUALA LUMPUR – Adnex Group Bhd melancarkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd., sekali gus menandakan langkah syarikat memasuki fasa pertumbuhan baharu sebagai syarikat senaraian awam.
Kumpulan yang menyediakan perkhidmatan kemasan dalaman itu menyasarkan untuk mengumpul RM18.1 juta menerusi terbitan awam 90.5 juta saham baharu pada harga terbitan 20 sen sesaham.
Pengarah Urusan, Kan Wai Chun berkata, pelancaran prospektus merupakan langkah penting apabila syarikat beralih menjadi syarikat tersenarai awam dan memasuki fasa pertumbuhan, akauntabiliti serta peluang baharu.
Beliau berkata, daripada syarikat kemasan dalaman tempatan, Adnex berkembang menjadi organisasi yang diurus secara profesional dengan aspirasi serantau serta keupayaan melaksanakan projek kemasan dalaman bagi pelbagai pelanggan.
“IPO ini menyediakan sumber kewangan untuk mengukuhkan keupayaan penyampaian projek, melabur dalam peralatan serta teknologi digital, selain memperluas kehadiran ke Malaysia Timur dan pasaran luar negara terpilih,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran prospektus itu di sini, hari ini.
Hasil IPO akan digunakan bagi menyokong pengembangan perniagaan, termasuk peluasan pejabat korporat dan pembukaan cawangan di negeri lain, peningkatan infrastruktur digital serta pengembangan ke pasaran antarabangsa.
Menurut Wai Chun, Adnex merancang membuka pejabat baharu di Penang, Johor dan Sabah antara 2026 hingga 2027, dengan Sabah dijangka menyambung hingga ke tahun 2027.
“Dengan rancangan membuka pejabat di Johor, Pulau Pinang dan Sabah, sumbangan daripada kawasan ini kini dianggarkan sekitar 30 peratus daripada jumlah tempahan syarikat, manakala baki 70 peratus masih berasal dari pusat operasi di Kuala Lumpur dan kawasan tengah Semenanjung. Strategi pengembangan ini dilihat mampu meningkatkan capaian pasaran dan potensi pendapatan syarikat secara menyeluruh.
“Pada masa sama, pengembangan ke pasaran antarabangsa termasuk Filipina dan Indonesia pula dirancang pada 2027 bagi menyokong pertumbuhan syarikat dan memenuhi permintaan berulang daripada pelanggan MNC,” katanya.
Manakala, sebanyak RM3 juta daripada hasil IPO diperuntukkan bagi bon pelaksanaan projek kemasan dalaman sedia ada dan masa depan, RM1.2 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM3.9 juta bagi keperluan modal kerja manakala RM3.6 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Bagi prestasi kewangan, Wai Chun menambah, jumlah tempahan belum dibilkan syarikat itu setakat Januari 2026 adalah sebanyak RM66 juta, manakala jumlah tempahan semas pula berjumlah RM130 juta.
Hasil Adnex bagi 2025 dicatatkan sebanyak RM94 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM9.2 juta, bersamaan hampir 10 peratus.
“Bagi 2026, syarikat menyasarkan untuk menggandakan jumlah projek dan mencatat pertumbuhan sehingga dua angka. Kadar kejayaan tender dilaporkan melebihi 50 peratus bagi bilangan dan nilai tender,” katanya.
Berdasarkan Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas oleh Providence Strategic Partners Sdn. Bhd, industri kemasan dalaman Malaysia dijangka berkembang kepada RM2.7 bilion menjelang 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 8.3 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Pertumbuhan itu disokong peningkatan hartanah komersial dan perindustrian, pertumbuhan industri pengguna akhir serta peningkatan pelaburan asing dan domestik.
Permohonan bagi IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 Mac 2026, manakala Adnex dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Mac 2026.
Selepas penyenaraian, kumpulan dijangka mempunyai permodalan pasaran RM100 juta berdasarkan harga terbitan 20 sen sesaham dan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 500 juta saham.
Public Investment Bank Bhd pula bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L