Oleh: Mohd Hafidzullah Mohamad Jamil

INDUSTRI seni sering dipandang glamor, namun realitinya ramai seniman tempatan, khususnya artis veteran yang hidup tanpa perlindungan kewangan dan kesihatan mencukupi.
Kebanyakan mereka bekerja secara projek, tiada majikan tetap, tiada cuti sakit bergaji dan tiada perlindungan perubatan berkumpulan. Apabila ditimpa penyakit, ramai artis terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana kos hospital swasta terlalu tinggi.
Kita sering membaca berita artis diziarahi dan dibantu orang ramai. Walaupun bantuan ini murni, ia secara tidak langsung menggambarkan wujudnya jurang perlindungan sosial dalam kalangan penggiat seni.
Hakikatnya, hanya segelintir artis yang mempunyai kesedaran kewangan akan mengambil inisiatif sendiri mencarum takaful demi menghadapi masa depan yang tidak menentu.
Pendapatan artis bergantung kepada tawaran kerja dan populariti semasa; ada ketika stabil, ada ketika langsung tiada. Dalam keadaan sedemikian, perancangan perlindungan kewangan sering ditangguhkan sehingga berlakunya musibah.
Kesihatan sebenarnya “modal kerja” seorang artis. Apabila mereka tidak mampu berlakon, menyanyi atau membuat persembahan, pendapatan mereka terhenti serta-merta. Berbeza dengan pekerja tetap, mereka tiada jaminan kewangan ketika sakit, sedangkan keluarga tetap perlu disara.
Sebagai seorang ejen takaful, saya melihat situasi ini semakin genting dan memerlukan pendekatan lebih sistematik.
Sudah tiba masanya artis di Malaysia mempertimbangkan mekanisme potongan caruman secara bulanan melalui persatuan seniman, agar perlindungan dapat dibuat secara konsisten dan tersusun.
Kaedah ini bukan sahaja memudahkan ahli, malah memastikan kebajikan dan pendapatan mereka terus terbela apabila berdepan risiko kesihatan atau kehilangan upaya bekerja.
Dalam pemerhatian lapangan, ramai artis Bumiputera belum mempunyai perlindungan yang mencukupi, sedangkan sebahagian penggiat seni lain telah lebih awal mengambil pelan perlindungan kewangan.
Keadaan ini bukan soal perbezaan kaum atau agama, tetapi lebih kepada tahap kesedaran dan akses maklumat berkaitan perancangan kewangan.
Justeru, usaha pendidikan kewangan dan pendedahan mengenai takaful perlu diperkasakan supaya semua penggiat seni memahami kepentingan perlindungan sejak awal kerjaya.
Perlindungan takaful juga tidak seharusnya terhad kepada individu semata-mata. Ia wajar diperluaskan kepada pasangan dan anak-anak supaya keseluruhan institusi keluarga turut dilindungi. Apabila pencari nafkah utama ditimpa musibah, keluarga sering menjadi pihak paling terkesan.
Dengan perlindungan keluarga, kos rawatan, pendidikan dan keperluan harian dapat diteruskan tanpa beban kewangan yang berat.
Sehubungan itu, peranan pihak berkuasa industri juga amat penting. FINAS boleh mempertimbangkan satu dasar di mana artis yang berdaftar dan berada di bawah naungan industri diwajibkan mempunyai perlindungan asas takaful melalui potongan caruman berkala.
Pendekatan ini bukan bertujuan membebankan, sebaliknya sebagai jaringan keselamatan minimum supaya setiap penggiat seni mempunyai perlindungan asas sepanjang mereka aktif dalam industri.
Takaful bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan dalam industri yang penuh ketidakpastian. Kita menikmati karya mereka sepanjang hayat. Maka wajar kita memastikan mereka tidak bergantung kepada derma ketika ditimpa musibah. Seniman bukan sekadar penghibur, mereka juga rakyat Malaysia yang berhak dilindungi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L