PRK DUN Ayer Kuning: Ahmad Zahid harap SPR ambil kira Ramadan

Mahkamah Tangguh Keputusan Permohonan DNAA Zahid, AGC Tidak Bantah

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pembebasan penuh (discharge not amounting to acquittal – DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Badius Zaman Ahmad yang berkata, pihaknya tidak memfailkan sebarang afidavit jawapan terhadap permohonan dikemukakan pada 28 Januari lalu.

“Saya diarahkan untuk hadir dan tidak membantah permohonan tersebut, sebab itulah kami tidak memfailkan sebarang afidavit balasan. Tiada bantahan terhadap permohonan (untuk DNAA)… saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan, mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung permohonan itu pada peringkat ini dan menangguhkan keputusan sementara menunggu pelupusan satu lagi perkara berkaitan status melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia.

Perkara tersebut merujuk kepada cabaran oleh Majlis Peguam Malaysia terhadap keputusan DNAA yang diberikan kepada Ahmad Zahid pada 2023. Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditolak pada 2024 dan Majlis Peguam kemudiannya memfailkan rayuan. Mahkamah Rayuan dijadualkan membuat keputusan pada 8 April ini.

Menurut Hakim Nurulhuda, isu berkenaan melibatkan persoalan kepentingan awam dan mahkamah tidak wajar mendahului keputusan Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan lagi, walaupun pihak pendakwaan telah memberi bayangan mereka tidak membantahnya. Apa sahaja keputusan oleh mahkamah ini akan menentukan prosiding Mahkamah Rayuan berhubung rayuan permohonan kebenaran itu,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 24 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendengar permohonan Ahmad Zahid.

Terdahulu, peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik membantah tindakan Majlis Peguam yang menyatakan bantahan terhadap permohonan DNAA melalui surat kepada mahkamah.

Beliau berhujah, Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk terlibat dalam prosiding jenayah tersebut.

“Majlis Peguam tidak mempunyai sebarang hak untuk bersuara dalam permohonan ini. Ini adalah perkara jenayah di bawah bidang kuasa pendakwa raya. Mereka tidak mempunyai peranan untuk masuk campur,” katanya.

Menurutnya, membenarkan bantahan oleh entiti yang bukan pihak dalam prosiding boleh dianggap mengurangkan atau menghakis kuasa pendakwa raya selaku pihak berautoriti dalam perkara jenayah.

Sementara itu, pihak pendakwaan tidak mengambil sebarang pendirian terhadap bantahan Majlis Peguam dan menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara mahkamah.

Ahmad Zahid, 73, sebelum ini didakwa pada 2018 dan 2019 atas 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah serta 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi. Pada 4 September 2023, beliau diberikan DNAA ketika perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah berada di peringkat pembelaan.

Permohonan untuk mendapatkan pembebasan penuh itu difailkan susulan kenyataan AGC pada 8 Januari yang mengisytiharkan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap Presiden UMNO berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *