Oleh: Rudysham Abdul Raof

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi anak syarikat milik penuh – Usim Holdings Sdn. Bhd. – melakar sejarah tersendiri apabila memperkenalkan USIM Smart Perpetual Endowment (USPeE), satu model endowment pintar berasaskan prinsip Syariah yang direka untuk membina kemandirian kewangan universiti secara mampan dan berimpak jangka panjang.
Berteraskan konsep “One Contribution, Three Perpetual Impacts”, USPeE mengubah setiap sumbangan menjadi tiga komponen yang saling melengkapi: korpus endowment kekal (70 peratus), impak segera kepada masyarakat dan pelajar (17.5 peratus), serta enjin pertumbuhan masa depan (12.5 peratus).
Melalui pendekatan ini, satu sumbangan bukan sahaja memberi manfaat hari ini, tetapi terus berkembang sebagai legasi ilmu dan kebajikan yang berkekalan, selaras dengan konsep sadaqah jariah dalam Islam.
USPeE mula diperkenalkan di peringkat nasional semasa Program Retreat Pelaksanaan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (RPTM) yang dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada 12 Februari lalu di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.

Inisiatif yang diperkenalkan secara strategik oleh Ketua Pegawai Operasi USIM Holdings, Dr. Shafaai Musa ketika di hadapan Menteri Pendidikan Tinggi dan semua Naib Canselor universiti awam serta kepimpinan tertinggi syarikat pegangan universiti awam, menandakan peranan USIM sebagai antara universiti terawal meneroka model endowment pintar bagi kelestarian kewangan pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, model USPeE dibangunkan sebagai endowment universiti Islam yang moden dan telus, dengan pengurusan – lean governance – di dalam struktur sedia ada universiti.
“Inisiatif ini membuka ruang kepada individu, institusi kewangan Islam dan organisasi korporat untuk bersama-sama membina masa depan pendidikan tinggi Islam melalui satu platform endowment yang tersusun, mampan dan berimpak berterusan.
“USPeE mencerminkan aspirasi USIM untuk membina sebuah ekosistem endowment pintar di mana setiap ringgit yang disumbangkan menjadi manfaat yang berkekalan untuk generasi akan datang,” jelas Dr. Shafaai.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L