KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan akan meneruskan tindakan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice selepas peluang yang diberikan untuk memohon maaf tidak diendahkan.
Menurut beliau, kandungan dimuat naik Caprice mengandungi unsur tuduhan beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat miliknya, Invoke Solutions Sdn, Bhd.
Tegasnya, pertanyaan berbentuk sindiran atau tuduhan tersirat tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak tindakan di bawah undang-undang fitnah.
“Elemen seperti innuendo dan sindiran tersirat tetap boleh dinilai mahkamah dalam menentukan sama ada sesuatu kenyataan itu bersifat fitnah,” katanya ketika ditemu bual dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) malam kelmarin.
Sebelum ini, Caprice dilaporkan memberi kata dua kepada Rafizi supaya menurunkan semua hantaran berkaitan dan memohon maaf sebelum jam 5 petang atau berdepan tindakan undang-undang.
Ia susulan kenyataan Rafizi di media sosial berhubung dakwaan melibatkan kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion berkaitan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengannya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menegaskan, beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion mahupun menggunakan istilah rasuah dalam video yang dimuat naik di platform media sosialnya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, bukti yang dikemukakan memberi keyakinan tinggi untuk beliau memenangi kes tersebut kerana tiada elemen menunjukkan wujud konflik kepentingan atau penerimaan rasuah.
“Jika benar saya menerima rasuah, sudah tentu saya dipenjarakan. Setakat ini tiada apa-apa berlaku. Saya yakin Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) sentiasa memantau,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, ahli perniagaan yang dikaitkan dengannya dikenali selepas beliau meninggalkan dunia politik, dan hubungan tersebut hanyalah atas dasar profesional sebagai klien kepada Invoke Solutions Sdn. Bhd.
Menurutnya lagi, hasil carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ditunjukkan sebenarnya merujuk kepada ‘preference share’ berbentuk pinjaman, bukannya pegangan saham berkepentingan seperti yang didakwa.
“Invoke mempunyai ramai klien. Jika semua klien dianggap mempunyai kepentingan, maka tidak munasabah untuk menuduh wujud konflik kepentingan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi berpendapat isu berkenaan sengaja dibangkitkan bagi mengalih perhatian daripada kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
“Taktik ini bertujuan mengalihkan tumpuan daripada isu Azam Baki. Namun saya tetap akan memberi fokus kepada perkara tersebut,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L