“Anak Saya Tidak Dibuli” – Ibu Truper K Indiran Perjelas Spekulasi

GEORGETOWN – Ibu kepada anggota tentera, Truper K Indiran, 22, menegaskan, kematian anaknya bukan berpunca daripada kes buli seperti tular di media sosial, sebaliknya meminta orang ramai tidak mencemarkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

S Usha, 52, berkata, hasil bedah siasat mengesahkan tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh anak sulungnya itu, sekali gus menolak dakwaan mendiang dipukul atau didera ketika menjalani latihan.

“Ini bukan kes buli. Jangan burukkan ATM. Bedah siasat memang tiada kecederaan. Tubuh anak saya sempurna,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nibong, di sini.

Menurut Usha, pada awalnya beliau berasa marah kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai keadaan anaknya yang ditemui tidak sedarkan diri ketika mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Rabu lalu.

“Saya ingatkan kes buli juga pada mulanya sebab ATM tidak hubungi saya lebih awal. Bila dapat tahu dia sudah kritikal di hospital, macam-macam andaian terlintas dalam fikiran saya sebagai seorang ibu,” ujarnya.

Bagaimanapun, selepas menerima penjelasan serta laporan bedah siasat, beliau akur tiada unsur penderaan berlaku dan berharap orang ramai tidak terus menyebarkan maklumat tidak sahih.

Usha menyifatkan pemergian anaknya sebagai sesuatu yang amat mengejutkan kerana Indiran seorang yang cergas dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda mempunyai masalah kesihatan.

Katanya, mendiang juga seorang anak yang bertanggungjawab, ceria dan sangat rapat dengan keluarga.

“Setiap pagi dia akan hubungi saya sebelum mula rutin harian. Dia memang bersemangat dengan latihan tentera,” katanya.

Indiran menyertai ATM dengan cita-cita untuk mengikut jejak langkah mendiang bapanya, Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth pada 2016.

Menurut Usha, walaupun latihan tentera mencabar, anaknya tidak pernah berputus asa.

“Dia pernah mengadu latihan susah, tapi itu memang biasa bagi unit beruniform. Saya pernah suruh dia balik kalau tak tahan, tapi dia tak mahu. Dia memang mahu jadi macam arwah ayahnya, mahu belajar tinggi dan ambil kursus untuk jadi juruterbang,” katanya.

Mengulas mengenai anak ketiganya, Sarvien, 17, yang kini menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kulim, Kedah, Usha mengakui beliau berasa serba salah jika anak-anaknya ingin menyertai pasukan keselamatan.

“Trauma itu memang ada. Dua kali tragedi dalam hidup saya. Tapi kalau anak nak juga, saya tak boleh halang,” katanya dengan nada sebak.

Terdahulu, jenazah Indiran tiba di kediaman keluarga kira-kira jam 1.45 pagi dan diberikan istiadat penghormatan penuh tentera sebelum disemadikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *