Rafizi, SPRM dan Politik Dua Darjat: Siapa Sebenarnya Menghukum Siapa?

Dari Meja Editorial

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, arena politik negara sering menyaksikan polemik terbuka antara pemimpin dan institusi penguat kuasa.

Salah satu episod yang mencuri perhatian ialah pertikaman lidah melibatkan bekas menteri kanan, Rafizi Ramli dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sebelum ini hangat dengan isu pemilikan saham.

Pada ketika isu melibatkan Azam memuncak, Rafizi antara yang paling lantang mengkritik. Hujahnya panjang, terperinci dan bernada keras. Beliau membangkitkan persoalan demi persoalan seolah kesalahan telah pun dibuktikan, meskipun tiada pendakwaan mahupun perbicaraan di mahkamah.

Dalam naratif yang dibina, Azam dilihat seakan sudah “dihukum” di mahkamah persepsi awam.

Kritikan terhadap institusi dan penjawat awam bukanlah sesuatu yang salah dalam demokrasi. Malah, semak dan imbang adalah asas sistem yang sihat.

Namun, apabila kenyataan dibuat dalam nada seolah keputusan telah muktamad tanpa proses undang-undang, ia menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan yang sering diperjuangkan.

Ironinya, apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil membuat laporan kepada SPRM berhubung dokumen serta dakwaan yang mengaitkan Rafizi sendiri ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi, nada yang sama tidak lagi kedengaran.

Laporan tersebut, setakat ini adalah permintaan supaya siasatan dijalankan, bukan tuduhan beliau telah melakukan rasuah.

Namun, reaksi awal Rafizi dilihat defensif. Beliau segera menuding jari, mendakwa pembukaan kertas siasatan terhadapnya adalah usaha untuk mengalih perhatian daripada isu lain.

Nama Azam dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disebut seolah wujud percaturan politik di belakang tindakan tersebut.

Di sinilah timbul persoalan mengenai konsistensi. Ketika beliau mengkritik Azam, ruang pembelaan seakan sempit. Tetapi apabila siasatan diminta terhadap dirinya, hujah yang diketengahkan ialah kononnya proses itu bermotif politik. Apakah standard yang digunakan berbeza mengikut siapa yang berada di kerusi tertuduh?

Lebih menarik, kini Rafizi sendiri dilihat perlu meneliti dan “mengkaji” butiran kes yang dilaporkan terhadapnya. Ini menunjukkan proses siasatan belum pun membuktikan apa-apa kesalahan.

Ia sekadar langkah awal untuk menentukan sama ada wujud unsur salah laku atau tidak. Bukankah inilah proses yang sewajarnya dihormati, sama seperti yang beliau tuntut dalam kes melibatkan orang lain?

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah isu potensi konflik kepentingan melibatkan rakan kongsi dalam sebuah syarikat yang dikatakan mendapat projek daripada entiti perniagaan tertentu, sedangkan individu itu juga memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat berkenaan.

Walaupun belum ada dapatan rasmi, persoalan ini wajar diperjelaskan secara terbuka bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif.

Dalam tadbir urus moden, isu konflik kepentingan bukan semestinya berkait dengan rasuah secara langsung. Namun ia tetap isu integriti.

Persepsi rakan kongsi atau kenalan rapat boleh terlibat dalam urusan projek yang ada kaitan dengan dasar atau pelancaran oleh seorang menteri sudah cukup untuk mencetuskan tanda tanya. Ketelusan menuntut penjelasan, bukan serangan balas.

Persoalan yang bermain di fikiran ramai ialah adakah tindakan dilakukan oleh pihak lain dianggap salah dan berunsur rasuah, tetapi apabila situasi hampir serupa melibatkan diri sendiri, ia ditafsir sebagai konspirasi?

Jika prinsip integriti benar-benar menjadi pegangan, maka ukuran yang sama harus digunakan tanpa mengira siapa yang terlibat.

Dalam politik, persepsi seringkali sama penting dengan realiti. Seorang pemimpin yang sebelum ini membina reputasi sebagai pejuang ketelusan dan pendedah salah laku akan dinilai lebih ketat apabila berdepan dakwaan terhadap dirinya.

Ini bukan ketidakadilan, tetapi harga yang perlu dibayar apabila memilih untuk berada di barisan hadapan perjuangan integriti.

Akhirnya, jalan terbaik bukanlah dengan menuding jari atau membina naratif konspirasi lebih awal. Proses siasatan harus dibiarkan berjalan secara profesional dan bebas. Jika tiada salah laku, keputusan itu akan membersihkan nama. Jika ada kelemahan dalam pengurusan konflik kepentingan, pembetulan boleh dibuat.

Yang penting, prinsip keadilan dan ketelusan tidak boleh bersifat selektif. Jika dahulu seseorang boleh berhujah panjang tentang integriti orang lain, maka hari ini beliau juga wajar bersedia diuji dengan neraca yang sama.

Dalam politik matang, tiada siapa kebal daripada siasatan dan tiada siapa patut dihukum sebelum siasatan selesai. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *