Pas Tawar Diri Jadi Orang Tengah Selesaikan Krisis Bersatu, Selamatkan PN

MARANG – Pas menyatakan kesediaannya untuk memainkan peranan sebagai “orang tengah” bagi menyelesaikan kemelut dalaman Parti Bersatu susulan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dengan tujuan utama memastikan kelangsungan dan kestabilan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan beliau telah menemui wakil Hamzah dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berasingan bagi mendengar penjelasan masing-masing dan memahami hujah pihak-pihak terbabit.

“Masing-masing ada hujah, saya dengar dan kita (Pas) hendak selesaikan. Yang penting kita hendak selamatkan Perikatan Nasional dahulu,” katanya ketika ditemui di Rusila.

Abdul Hadi menekankan, PN hanya mampu mengekalkan relevansinya dalam politik negara sekiranya semua pihak dalam gabungan pembangkang bersatu dan tidak terjejas oleh krisis dalaman.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Pas akan mengadakan mesyuarat esok untuk membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang berikutan pemecatan Hamzah dalam Bersatu, selain membincangkan isu kekosongan jawatan Pengerusi PN yang sudah tertunggak hampir dua bulan.

“Kita akan bincang (Ketua Pembangkang) dalam mesyuarat Pas sekali dengan Pengerusi PN. Memang kita berhasrat hendak ambil alih PN, tetapi kedudukan Ketua Pembangkang belum ada keputusan lagi,” ujar Abdul Hadi.

Langkah ini menunjukkan Pas bersedia memainkan peranan strategik dalam politik gabungan, bukan hanya sebagai parti komponen, tetapi juga pemudahcara untuk menstabilkan situasi dalaman Bersatu yang kini bergegar, sambil memastikan PN kekal relevan dalam arus politik nasional menjelang pilihan raya dan perkembangan masa depan kerajaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *