KUALA LUMPUR: Pemilikan saham oleh pegawai awam hanyalah melibatkan isu pentadbiran dan bukan satu kesalahan jenayah kolar putih.
Persatuan Bekas Pegawai SPRM (PBPSPRM) berpendapat bahawa, isu terkait Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, lebih kepada pengisytiharan aset dan had tertentu pemilikan saham berdasarkan Garis Panduan Perkhidmatan Awam.
Menurutnya, pengisytiharan aset pegawai awam hanya dibuat kepada pegawai tertinggi dan bukannya terbuka untuk tatapan pihak umum.
“Dalam kes ini, Azam telah memberitahu pegangan tersebut telah diisytiharkan melalui saluran rasmi kerajaan dan kini telah dilupuskan.
“Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita menunggu dapatan hasil siasatan tersebut melalui panel siasatan yang telah dibentuk,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
PBPSPRM berkata sehingga kini, tiada bukti menunjukkan Azam terbabit dengan penyalahgunaan kuasa, campur tangan dalam siasatan atau memperoleh keuntungan melalui kedudukan rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Ujarnya, perbezaan antara pelanggaran prosedur dan jenayah kolar putih atau rasuah perlu difahami secara jelas agar kita tidak terperangkap dengan hukuman dan persepsi yang salah.
Dalam pada itu, PBPSPRM berharap semua pihak dapat membezakan antara konflik sebenar dengan konflik persepsi.
Merujuk dakwaan terpalit Azam, pihaknya berpandangan ia cenderung menimbulkan konflik persepsi.
“Dalam tadbir urus moden hari ini, terdapat dua kategori konflik iaitu konflik sebenar dan konflik persepsi. PBPSPRM melihat isu yang sedang dibincangkan lebih tertumpu kepada dimensi konflik persepsi.
“Tidak dinafikan persepsi penting, tetapi ia tidak boleh menggantikan bukti untuk menjatuhkan hukuman terhadap individu dan institusi,” katanya.
Pihaknya juga bimbang dengan perbahasan berlebihan terkait isu saham membabitkan Azam yang dikhuatiri berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap kredibiliti negara, apatah lagi sekiranya melibatkan institusi penting seperti SPRM yang dipertanggungjawabkan membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam dan swasta di negara ini.
“PBPSPRM berpendapat pendekatan matang dalam kalangan masyarakat umum dengan menyokong siasatan bebas serta menghormati proses siasatan oleh panel bebas berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada amat penting dan perlu disegerakan.
“Kita juga perlu elakkan dan jangan membuat kesimpulan awal untuk menjatuhkan sebarang bentuk hukuman,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L