Jasad adik anggota bomba ditemui terdampar di tepi pantai

BACHOK – Jenazah adik anggota bomba yang lemas dalam kejadian di Pantai Kandis akhirnya ditemui terdampar di lokasi sama anggota bomba ditemui iaitu di Pantai D’Aur, awal pagi ini.

Mayat Ahmad Nurruddin Abdul Wahab, 21, ditemui orang awam sebelum melaporkan penemuan kepada pihak polis kira-kira jam 7.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pengecaman mayat dibuat bapa mangsa lemas.

“Mayat mangsa kedua ditemui kira-kira 3.5 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat di Pantai D’Aur, di sini hari ini.

Mohamad Ismail berkata, penemuan itu juga kira-kira 200 meter daripada jarak penemuan mangsa lemas pertama iaitu abang mangsa, yang juga anggota bomba, Ahmad Badrul Abdul Wahab, 32, pada jam 12.52 tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu, kegembiraan 20 ahli keluarga dari Pasir Puteh berkelah di Pantai Kandis, bertukar tragedi apabila dua ahli keluarga mereka lemas.

Ahmad Nurruddin dikatakan terlebih dahulu lemas bersama anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, sebelum Ahmad Badrul bersama abang iparnya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang juga bapa kanak-kanak berkenaan cuba membantu.

Mohd Ezad berjaya membawa anaknya ke daratan, namun Ahmad Badrul dan Ahmad Nurruddin didapati hilang. – BERITA HARIAN

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *