Van Dijk wira Liverpool buru tiket Liga Juara-Juara

SUNDERLAND, England – Virgil van Dijk menghidupkan semula harapan Liverpool memburu tiket ke Liga Juara-Juara apabila pemain pertahanan tengah itu meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Sunderland, awal pagi tadi.

Kapten The Reds itu menjaringkan gol pada babak kedua untuk menghadiahkan Sunderland kekalahan pertama di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kemenangan kedua dalam lapan aksi terakhir liga menyaksikan Liverpool yang berada di tangga keenam kini hanya dua mata di belakang Chelsea di tempat kelima dan tiga mata di belakang Manchester United di kedudukan keempat.

Keputusan seri yang diraih United dan Chelsea awal pagi semalam membuka ruang buat Liverpool menghidupkan semula misi ke pertandingan kelab elit Eropah itu dan mereka memanfaatkan peluang berkenaan dengan kemenangan penuh berdisiplin di Wearside yang dilimpahi hujan.

Bercakap selepas kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada Manchester City hujung minggu lalu, pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui musim ini adalah yang paling sukar dalam kariernya “dengan jurang yang besar”.

Beliau berdepan spekulasi memuncak mengenai kedudukannya, kurang setahun selepas mengemudi Liverpool meraih kejuaraan liga Inggeris.

Slot mengakui adalah sesuatu yang tidak boleh diterima jika Liverpool gagal layak ke Liga Juara-Juara, sambil menegaskan pasukannya perlu hampir sempurna untuk merebut tempat ke saingan itu.

Sunderland memulakan perlawanan dengan rekod tanpa kalah di laman sendiri, satu-satunya kelab dalam EPL musim ini, dengan pendahulu Arsenal dan pasukan di tangga kedua City sebelum ini sekadar seri di Stadium of Light.

Namun berbeza dengan Arsenal dan City, Liverpool berjaya meraih kemenangan menerusi aksi penuh ketahanan mental.

Florian Wirtz menjadi pencetus utama kebanyakan gerakan berbahaya Liverpool.

Percubaan yang terkena benteng pertahanan lawan hampir membuahkan hasil sebelum rembatan jarak jauhnya memaksa penjaga gol Robin Roefs melakukan tindakan penyelamat cemerlang.

Pemain tengah kreatif Jerman itu sekali lagi hampir mencetak gol menerusi rembatan leret yang melepasi celahan pemain Sunderland sebelum terkena tiang gol.

Sunderland merayu sepakan penalti apabila Ibrahima Konate menjatuhkan Brian Brobbey sebelum rehat, namun rayuan itu tidak dilayan pengadil.

Liverpool bangkit dengan sempurna dan percubaan Mohamed Salah yang menuju ke gawang disekat Reinildo Mandava sebelum Van Dijk meledak gol pada minit ke-61.

Van Dijk menanduk kencang sepakan penjuru Salah, dengan bola terkena Habib Diarra sebelum menerjah bumbung jaring ketika cubaannya mengeluarkan bola di garisan gol gagal. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *