MANCHESTER, England – Manchester City terus menekan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal selepas melakar kemenangan mudah 3-0 ke atas Fulham awal pagi tadi, sekali gus merapatkan jurang di puncak kepada tiga mata.
Pengurus City, Pep Guardiola sebelum ini cuba mencari jalan mengatasi kemerosotan prestasi babak kedua yang menyebabkan mereka tercicir mata berharga dalam perebutan kejuaraan.
Namun, kali ini tugas diselesaikan seawal separuh masa pertama apabila tiga gol dalam tempoh 15 minit menerusi Antoine Semenyo, Nico O’Reilly dan Erling Haaland memastikan kemenangan ke-20 berturut-turut ke atas Fulham dalam semua pertandingan.
Arsenal berpeluang melebarkan semula jurang kepada enam mata apabila berkunjung ke Brentford yang sedang berada dalam prestasi baik, awal pagi esok.
Bagaimanapun, kelebihan The Gunners kini susut daripada sembilan mata kepada tiga dalam tempoh empat hari, memberi harapan kepada City untuk menafikan kejuaraan liga pertama Arsenal dalam tempoh 22 tahun.
City hadir dengan momentum kebangkitan dramatik lewat permainan ketika menewaskan Liverpool 2-1 di Anfield Ahad lalu, kemenangan yang jarang diraih mereka di gelanggang itu.
Kehadiran pemain baharu bulan lalu, Semenyo dan Marc Guehi menambah sengat di jentera serangan serta kekuatan di benteng pertahanan untuk menghidupkan semula cabaran kejuaraan City.
Semenyo menyambar gol kelimanya sejak berpindah dari Bournemouth selepas Sander Berge secara tidak sengaja menolak hantaran lintang Matheus Nunes ke arah gawang sendiri.
Pemain antarabangsa Ghana itu kemudian bertukar peranan sebagai pencipta gol apabila melorongkan bola kepada O’Reilly yang tenang melakukan lambungan menewaskan Bernd Leno susulan satu serangan balas pantas.
Haaland sebelum ini menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan ketika aksi di Anfield, namun penyerang Norway itu mengakui dia perlu meningkatkan prestasi selepas hanya sekali meledak gol daripada gerakan terbuka dalam 13 perlawanan terdahulu.
Dia akhirnya menamatkan kemarau gol menerusi permainan terbuka EPL sejak 20 Disember lalu apabila melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti ke penjuru bawah gol pada minit ke-39.
Guardiola kemudian merehatkan Haaland pada babak kedua apabila dia digantikan oleh Omar Marmoush.
Fulham hampir bangkit daripada ketinggalan 1-5 ketika kedua-dua pasukan bertemu Disember lalu dalam aksi mendebarkan yang berakhir 5-4.
City sekali lagi gagal mengekalkan intensiti babak pertama selepas rehat, namun kali ini tanpa sebarang padah apabila mereka meletakkan tekanan hebat ke atas Arsenal dalam perebutan takhta liga. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L