Dari Meja Editorial
KIRA-KIRA dua hingga tiga dekad lalu, masyarakat Malaysia hidup dalam satu suasana yang agak unik apabila hampir setiap hari media melaporkan penangkapan individu atas kesalahan rasuah.
Namun, di sebalik kekerapan berita itu, wujud satu ironi yang sukar dinafikan, iaitu mereka yang ditangkap kebanyakannya penjawat awam bawahan, kakitangan kecil atau individu berpendapatan rendah, manakala jumlah wang yang terlibat pula sering kali tidak besar.
Keadaan ini melahirkan satu persepsi yang kuat dalam kalangan rakyat bahawa Badan Pencegahan Rasuah (BPR) ketika itu (sehingga 31 Disember 2008) hanya berani bertindak ke atas golongan kecil, sedangkan mereka yang berada di puncak kuasa seolah kebal daripada tindakan undang-undang.
Daripada situlah lahir sindiran yang masih diingati sehingga hari ini, istilah “bilis” dan “jerung”. “Bilis” merujuk kepada ikan kecil yang mudah ditangkap, manakala “jerung” melambangkan ikan besar yang ganas, tetapi sukar disentuh.
Istilah ini bukan sekadar bahasa kiasan, tetapi refleksi kekecewaan rakyat terhadap sistem keadilan yang dilihat tidak seimbang. Rasuah berskala kecil dihukum, rasuah berskala besar pula dibiarkan.
Dalam keadaan ini, mesej yang sampai kepada masyarakat amat berbahaya: jika anda kecil, anda akan dihukum; jika anda besar dan berkuasa, anda akan dilindungi.
Situasi sedemikian bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan, malah menyuburkan lagi budaya rasuah dalam sistem pentadbiran dan politik.
Apabila “Jerung” bebas bergerak tanpa rasa takut, rasuah menjadi sebahagian daripada cara bekerja, membuat keputusan dan mengurus kuasa. Rasuah tidak lagi dilihat sebagai jenayah luar biasa, tetapi sebagai risiko biasa yang boleh diurus selagi seseorang berada dalam lingkungan perlindungan kuasa.
Namun, dunia tidak statik dan begitu juga kesedaran masyarakat. Memasuki tahun 2000, perubahan mula dirasai. Penstrukturan semula BPR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – bermula 1 Januari 2009 – membawa bersamanya harapan baharu.
Walaupun perubahan ini tidak berlaku serta-merta dan tidak sempurna, landskap pembanterasan rasuah mula menunjukkan peralihan yang ketara. Berita-berita penangkapan kini tidak lagi didominasi oleh “bilis”, sebaliknya nama-nama besar mula muncul di dada akhbar dan portal berita.
Menteri, bekas menteri, panglima tentera, setiausaha politik, ketua jabatan, pengarah dan pengurus syarikat serta ahli-ahli politik mula disiasat, ditahan dan didakwa.
Jumlah wang yang terlibat pula bukan lagi ratusan atau ribuan ringgit, tetapi jutaan dan bilion. Buat pertama kalinya, rakyat melihat undang-undang mula menjengah ke kawasan yang sebelum ini dianggap terlarang. “Jerung” yang dahulu berenang bebas kini ditarik ke darat untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
Perkembangan ini sepatutnya diraikan sebagai satu kemajuan besar dalam pembinaan negara yang berintegriti. Ia menunjukkan institusi penguatkuasaan semakin berani dan sistem demokrasi semakin matang.
Namun, realiti politik dan sosial seringkali lebih kompleks. Apabila “jerung” ditangkap, bukan semua pihak bersorak. Ada yang marah, ada yang mempertikaikan dan ada yang menuduh tindakan itu bermotifkan politik. SPRM dituduh cuba menjatuhkan reputasi tokoh tertentu, yang sering dianggap sebagai “Dewa-Dewa” dalam parti atau kumpulan masing-masing.
Reaksi sebegini sebenarnya mendedahkan satu masalah mendasar dalam pemikiran kita. Kita masih cenderung menilai keadilan berdasarkan siapa yang terlibat, bukan apa yang dilakukan.
Apabila musuh politik ditangkap, ia dianggap keadilan. Apabila tokoh yang disokong ditangkap, ia dianggap penganiayaan. Dalam keadaan ini, perjuangan membanteras rasuah menjadi sukar kerana ia terperangkap dalam kesetiaan sempit dan emosi kepartian.
Hakikat yang perlu diterima ialah keberanian sebenar dalam membanteras rasuah hanya teruji apabila tindakan diambil terhadap mereka yang berada di puncak kuasa.
Menangkap “bilis”, tidak pernah memerlukan keberanian luar biasa. Menangkap “jerung”, itulah ujian sebenar kepada integriti institusi dan keikhlasan kerajaan.
Oleh itu, apabila SPRM hari ini berani menyiasat dan menahan individu berjawatan tinggi, ia bukan satu tanda kezaliman, tetapi petanda sistem sedang cuba membetulkan dirinya.
Mana-mana kerajaan yang benar-benar komited membanteras rasuah tidak boleh memilih bulu. Ia perlu bersedia kehilangan sokongan, berdepan kritikan, dan menanggung risiko politik.
Pembanterasan rasuah bukan jalan mudah untuk mengekalkan kuasa, tetapi ia satu keperluan untuk menyelamatkan negara. Jika kerajaan hanya berani bertindak ke atas lawan, tetapi melindungi kawan, maka rasuah akan terus hidup dengan wajah yang berbeza.
Sudah tentu, masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Kebebasan SPRM perlu terus diperkukuh, campur tangan politik mesti dielakkan dan proses keadilan perlu telus agar keyakinan rakyat tidak terhakis.
Masyarakat pula perlu matang dalam menilai kes-kes rasuah, dengan membezakan antara siasatan, pendakwaan dan sabitan, tanpa menutup mata semata-mata kerana kesetiaan politik.
Peralihan dari era “bilis” kepada era “jerung” bukanlah sesuatu yang sempurna, tetapi ia satu langkah ke hadapan yang tidak boleh dinafikan. Jika dahulu kita marah kerana hanya ikan kecil yang ditangkap, hari ini kita tidak sepatutnya berasa tidak selesa apabila ikan besar pula diseret ke tepi.
Negara yang takut menghukum “jerung” adalah negara yang sedang menuju kehancuran, sebaliknya negara yang berani berdepan dengan “jerung” adalah negara yang masih mempunyai harapan untuk membina masa depan yang bersih, adil dan bermaruah. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
