Dari Meja Editorial
CADANGAN kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu mulai tahun hadapan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menyokong, namun tidak kurang juga yang bersikap sinis, menyindir, malah mengkritik seolah cadangan ini satu bentuk kezaliman terhadap kanak-kanak.
Persoalannya, benarkah cadangan ini begitu buruk atau sebenarnya ia mencerminkan masalah mentaliti sebahagian rakyat Malaysia yang sukar menerima perubahan demi kebaikan masa depan anak-anak dan mereka?
Hakikatnya, niat kerajaan amat jelas dan baik. Melahirkan generasi rakyat Malaysia yang lebih cerdik, berdaya saing, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat, sistem pendidikan tidak boleh kekal statik. Kita tidak boleh terus berfikir dengan acuan lama, sedangkan negara lain sudah jauh ke hadapan.
Kanak-kanak berusia enam tahun sebenarnya bukanlah terlalu kecil atau mentah untuk memasuki Tahun Satu. Pada usia tersebut, majoriti kanak-kanak sudah mampu membaca asas, menulis, mengira dan mengikut arahan.
Malah, ramai ibu bapa sendiri telah menghantar anak-anak mereka ke tadika, prasekolah dan pusat pembelajaran seawal usia empat atau lima tahun. Jadi, apa bezanya jika pada usia enam tahun, mereka memasuki sistem pendidikan formal di sekolah rendah?
Perlu ditegaskan, masuk Tahun Satu atau Darjah Satu bukan bermakna anak-anak ini akan ditekan dengan silibus berat atau dipaksa belajar secara keterlaluan.
Mereka bukannya dihantar berkursus dalam hutan, bukannya dipaksa menghafal buku setebal kamus atau duduk menghadapi peperiksaan bertaraf universiti. Kurikulum Tahun Satu direka khusus mengikut tahap perkembangan kanak-kanak, dengan pendekatan pembelajaran yang lebih santai, berperingkat dan menyeronokkan.
Sebaliknya, pendedahan awal kepada persekitaran sekolah boleh membantu kanak-kanak membina disiplin diri, kemahiran sosial, keyakinan dan rasa tanggungjawab.
Mereka belajar menepati masa, menghormati guru, bekerjasama dengan rakan, serta memahami struktur dan peraturan, iaitu kemahiran hidup yang sangat penting untuk masa depan.
Malangnya, sebahagian rakyat Malaysia masih terperangkap dengan mentaliti negatif. Setiap cadangan baharu dianggap membebankan, setiap perubahan dilihat sebagai ancaman.
Apabila kerajaan mencadangkan sesuatu untuk jangka panjang, yang difikirkan hanyalah keselesaan hari ini, bukan manfaat 10 atau 20 tahun akan datang. Mentaliti seperti inilah yang menjadi penghalang utama kemajuan negara.
Jika mentaliti sebegini dibawa ke negara seperti Jepun atau Sweden, sudah tentu sukar untuk bertahan. Di negara-negara tersebut, disiplin, tanggungjawab dan kesedaran sivik diterapkan sejak usia kecil.
Kanak-kanak diajar untuk berdikari, menghormati masa, menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan. Sebab itu kita dapat lihat perbezaan ketara dalam sikap masyarakat.
Bandingkan sahaja soal paling asas seperti kebersihan. Di Malaysia, masih ramai yang selamba membuang sampah merata-rata walaupun tong sampah tersedia. Ada yang beranggapan “tak apa, nanti ada orang sapu.”
Di Jepun dan Sweden pula, sekecil-kecil sampah pun akan disimpan dalam poket atau beg sehingga mereka menemui tong sampah. Ini bukan berlaku secara ajaib, tetapi hasil pendidikan dan pembentukan sikap sejak kecil.
Justeru, cadangan untuk memasukkan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu harus dilihat dalam konteks pembinaan jangka panjang. Ia bukan soal menyusahkan anak atau ibu bapa, tetapi soal menyediakan generasi yang lebih bersedia menghadapi realiti dunia sebenar. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang rapuh, mudah mengeluh dan takut pada cabaran.
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengubah cara berfikir. Tidak semua yang mencabar zon selesa itu buruk. Tidak semua yang memerlukan penyesuaian itu menyusahkan. Kadangkala, perubahan kecil hari ini adalah pelaburan besar untuk masa depan anak-anak kita dan negara ini.
Jika kita benar-benar mahu melihat Malaysia setaraf dengan negara maju, maka kita juga perlu berani berfikir dan bertindak seperti negara maju. Pendidikan awal yang tersusun dan berdisiplin adalah salah satu langkah penting ke arah itu. Jangan kita sendiri menjadi penghalang kepada masa depan anak-anak kita. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L