PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, ugutan terhadap ahli keluarga bekas wartawan, Rex Tan di media sosial adalah perbuatan tidak wajar serta melampaui batas.
Beliau mengingatkan orang ramai tidak mengambil tindakan melulu ketika proses undang-undang sedang berjalan.
Katanya, siasatan berkaitan kes itu kini dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan sebarang tindakan berlebihan, khususnya di platform media sosial hanya akan memburukkan keadaan serta tidak membantu mana-mana pihak.
“Saya mengingatkan orang ramai tidak berlebih-lebihan, apatah lagi menggunakan media sosial untuk menyampaikan ugutan atau kenyataan berunsur provokatif. Proses undang-undang sedang berjalan dan semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Kita perlu bergerak ke hadapan daripada peristiwa ini. Melontarkan ugutan tidak mendatangkan sebarang kebaikan, sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Rex Tan, 31, dilaporkan meletakkan jawatan sebagai wartawan Free Malaysia Today (FMT) pada 16 Januari lalu sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan sejurus selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapannya diambil, manakala telefon bimbit miliknya turut dirampas bagi membantu siasatan.
Insiden berkenaan tercetus susulan soalan diajukan Tan dalam satu wacana awam berkaitan konflik Gaza yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway. Soalan tersebut kemudiannya mencetuskan kecaman hebat di media sosial selepas didakwa mengandungi unsur perkauman.
Susulan kritikan tersebut, Tan tampil mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dengan mengakui bahawa soalan berkenaan telah dirangka secara kurang tepat, selain gagal mengambil kira konteks majlis serta sensitiviti isu yang dibincangkan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L