AMANAH Tolak ‘Kolaborasi Agung’ Jika Cemar Integriti dan Mandat Rakyat

Oleh: Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil maklum terhadap cadangan “Kolaborasi Agung” serta visi meletakkan UMNO sebagai “Rumah Bangsa” yang telah diutarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menurut Presiden UMNO, rakan-rakan komponen lain, termasuk Amanah telah dimaklumkan dan mengetahui pandangan serta cadangan UMNO tersebut.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu tetap komited terhadap mana-mana usaha ke arah pemerkasaan kesatuan ummah sebagai tunjang utama negara.

AMANAH secara umumnya menekankan sebarang bentuk perpaduan politik tidak seharusnya berlaku dalam ruang ‘vakum’, ia mestilah berpaksikan kepada nilai-nilai keadilan, integriti, dan keterangkuman yang menjadi slogan parti AMANAH.

​Sebagai reaksi, AMANAH ingin menggariskan “Garis Merah” (Red Line) dan pendirian teguh kami, berpandukan kerangka Malaysia MADANI dan politik RAHMAH yang kami yakini.

​1. Kerangka MADANI /RAHMAH Sebagai Kompas Nilai

​Sebarang bentuk kerjasama politik mestilah selaras dengan nilai MADANI dan nilai RAHMAH. Kami komited kepada nilai-nilai Rahmah, Amanah, Hikmah, Muafakat, Adil dan Hormat dalam apa juga tindakan politik kami.

Kami menolak sebarang “perpaduan” yang bersifat retorik semata-mata atau berteraskan Assabiyah Kaumiyyah (Perkauman Sempit). Perpaduan Melayu yang hakiki bukan tentang ketuanan mana-mana kaum, tetapi tentang ketuanan prinsip “Rahmatan lil ‘Alamin” (Rahmat buat sekalian alam) di mana kekuatan orang Melayu digunakan untuk melindungi dan berkhidmat untuk mengangkat martabat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik mahupun agama.

​2. Integriti dan Tata Kelola Tidak Boleh Dikompromi

AMANAH tidak akan menyokong sebarang kolaborasi yang dijadikan sebagai “perisai politik” bagi mana-mana individu yang sedang menghadapi penelitian undang-undang atau mereka yang telah mencalarkan amanah negara.

Perpaduan mestilah dibina atas dasar tatakelola yang baik dan antirasuah. Kami tidak akan berkompromi dan akan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta menolak sebarang bentuk manipulasi yang dilaksanakan secara selektif dan berat sebelah.

​3. Politik Nilai vs. Politik Perkauman “Zero-Sum”

​Perpaduan Melayu-Islam tidak boleh dibina dengan mengorbankan fabrik sosial masyarakat majmuk kita. “Garis Merah” bagi AMANAH adalah menolak sebarang naratif yang mengajak kepada kebencian kaum dan agama serta kempen jahat mengeksploitasi sentimen orang Melayu bahawa Islam dan Melayu terancam.

Kami menyokong ke arah Konsensus Nasional yang melibatkan semua pemegang taruh melibatkan Melayu, Cina, India, serta rakyat Sabah dan Sarawak bagi memastikan “Agenda Melayu” kekal sebagai sebahagian daripada “Agenda Kemakmuran Malaysia” yang adil dan mampan.

​4. Tolak Sebarang Langkah “Tebuk Atap”

​AMANAH berterimakasih kepada Presiden UMNO yang menjamin bahawa usaha ini bukan kerjasama yang bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan sedia ada melalui taktik “pintu belakang”.

Kami mengulangi komitmen mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan mengharapkan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan meneruskan sokongan terhadap kerajaan sehingga tamat mandat rakyat.

Kestabilan politik adalah prasyarat bagi pemulihan ekonomi dan usaha memperhatikan rakyat, kami tidak akan membenarkan “Kolaborasi Agung” digunakan sebagai “Kuda Trojan” untuk tujuan politik oportunis yang membelakangkan mandat rakyat.

​5. Politik Nilai Mengatasi Sentimen

​Kami menyeru rakan kongsi mahupun pesaing politik untuk bergerak melangkaui politik emosi dan berpindah kepada politik nilai dan prinsip.

Gabungan parti-parti Melayu hendaklah berpaut kepada nilai-nilai mulia sebagai ikatan dan segala tindak-tanduk kita perlu membawa hasil yang substantif seperti pendidikan berkualiti untuk seluruh anak-anak Malaysia, ekonomi yang makmur, dan keadilan sosial.

Perlu diingatkan janganlah hendaknya cadangan kolaborasi ini menjadi sekadar taktik pengukuhan kuasa elit politik Melayu dan tidak lebih daripada itu.

“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu bercerai berai” (Q: Ali Imran: 103)

​​AMANAH sentiasa terbuka untuk berdialog (bermuzakarah) selagi ia berlangsung di bawah naungan kerangka MADANI dan RAHMAH.

Dicadangkan idea ini dikemukakan secara terperinci dalam dialog melibatkan semua parti Melayu terlebih dahulu supaya ia tidak disalah tanggap dan menimbulkan keadaan tidak selesa rakyat.

Kami percaya bahawa cara terbaik untuk menyatukan orang Melayu adalah dengan membuktikan bahawa kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu mampu menjadi kerajaan yang paling adil, paling telus, dan paling berkasih sayang kepada semua warganegaranya.

​Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Amanah dan Ahli Dewan Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *