Agong Tegas: Rasuah Dalam ATM dan Agensi Kerajaan Tidak Akan Dibenarkan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menegaskan segala perancangan pembangunan negara tidak akan membawa hasil dan menjadi sia-sia sekiranya amalan rasuah terus berleluasa, termasuk dalam institusi pertahanan negara dan pelbagai agensi kerajaan.

Dalam titahnya sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, baginda menekankan, keberkesanan dasar-dasar kerajaan bergantung kepada integriti semua pihak.

Sultan Ibrahim turut menyatakan rasa kecewa dan murka terhadap kes rasuah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk di peringkat tertinggi.

“Tahun ini adalah permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Saya mahu rancangan ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan, dan pengangkutan awam.

“Namun, segala perancangan yang dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa,” titah baginda dengan nada tegas.

Baginda menekankan, kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan pentadbiran negara akan terus merosot jika jenayah rasuah tidak dibendung.

“Saya pernah sebut dahulu, saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya menjumpai mereka. Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sehingga ke peringkat tertinggi.

“Agaknya selepas ini saya patut lantik sarjan sahaja menjadi Panglima Angkatan Tentera,” titah baginda dengan nada sinis dan penuh amaran.

Yang di-Pertuan Agong menegaskan, pendedahan kes rasuah yang berlaku hari ini hanyalah “sekelumit daripada segunung”, atau sebagaimana istilah Inggerisnya, the tip of the iceberg.

Baginda yakin masih ramai lagi individu yang terlibat dalam amalan rasuah, sama ada di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, mahupun agensi kerajaan lain.

“Termasuk juga yang berada di dalam dewan ini,” titah baginda, memberi amaran, tiada sesiapa yang selamat selagi pengkhianatan terhadap amanah rakyat terus berlaku.

Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memainkan peranan sebagai mata dan telinga negara dalam usaha membanteras rasuah.

Segala perlakuan melibatkan penerima, pemberi atau ejen yang bersubahat perlu dilaporkan tanpa kompromi. Kesetiaan sebenar bukan kepada individu atau pangkat, tetapi kepada negara dan kebenaran, tegas baginda.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempercepatkan siasatan tanpa mengira pangkat, jawatan atau kedudukan serta bertindak dengan tegas dan berani.

Baginda turut menyarankan kerajaan menyediakan hakim-hakim berpengalaman dan laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes rasuah, bagi memastikan keadilan dapat dicapai tanpa kelewatan.

“Rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang. Ia adalah pengkhianatan terhadap negara. Selagi beta memegang amanah ini, beta tidak akan berdiam diri, dan beta tidak akan berkompromi,” titah baginda.

Titah Agong hari ini menyerlahkan betapa seriusnya isu rasuah di Malaysia, terutamanya dalam kalangan mereka yang sepatutnya menjadi teladan dan benteng integriti negara.

Ia menegaskan, usaha membanteras rasuah bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab semua rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *