Johor Melangkah ke PRN, Negeri Sembilan Pantau Percaturan Baharu

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

SEREMBAN – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam, membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, malah turut menghangatkan suhu politik di Negeri Sembilan apabila pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan khas hari ini bagi menilai perkembangan semasa.

DUN Johor dibubarkan secara rasmi selepas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan keputusan tersebut susulan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dengan matlamat mendapatkan mandat baharu rakyat demi menjamin kestabilan politik serta kesinambungan agenda pembangunan negeri.

Langkah itu dilihat sebagai titik perubahan penting dalam politik Johor ketika Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersedia mempertahankan dominasi mereka secara solo selepas menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN sebelum pembubaran.

Perkembangan di Johor segera mencetuskan kesan limpahan ke Negeri Sembilan yang ketika ini berdepan ketidaktentuan politik susulan tindakan 14 adun BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada April lalu.

Ketegangan politik semakin mendapat perhatian selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini memberi isyarat bahawa PH bersedia bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan sekiranya BN memilih untuk bergerak solo dalam PRN Johor.

Mengulas spekulasi yang semakin memuncak, Aminuddin tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri diadakan pada bila-bila masa dan memaklumkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi membincangkan perkembangan terkini pentadbiran negeri.

Ketika Johor kini menanti pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian, tumpuan pemerhati politik mula beralih ke Negeri Sembilan yang dilihat berpotensi menjadi medan seterusnya dalam percaturan politik nasional yang semakin dinamik.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *