KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dari tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM2.8 juta.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rosli Ahmad selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan perbicaraan terhadap balu Allahyarham, Datin Seri Zizie Izette A. Samad diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi beliau untuk menggugurkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya. Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.
Untuk rekod, Bung Moktar disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi, 5 Disember 2025 pada usia 66 tahun.
Perkara itu disahkan anaknya, Naim Kurniawan menerusi satu hantaran di Facebook. Allahyarham sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru yang serius.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan tersebut daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette serta akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015, serta pada jam 12.16 tengah hari, 19 Jun 2015.
Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette di lokasi, tarikh dan masa yang sama, iaitu pada jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Datin Seri Zizie Izette masih berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung kes yang sama, melibatkan lokasi, tarikh dan masa yang serupa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
