KOTA BHARU – Suspek wanita yang diburu polis selepas dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM1.82 juta yang dirampas di negeri ini minggu lalu, disyaki berselindung di sebalik kedai makan bagi mengaburi kegiatan itu.
Memetik Berita Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, suspek yang berusia 30-an dikenali sebagai ‘Luna’, juga mengamalkan gaya hidup mewah berdasarkan hantaran pada akaun media sosial miliknya.
“Sebelum ini saya dimaklumkan suspek berkenaan mempunyai kedai makan di Kota Bharu, namun kini premis berkenaan sudah ditutup. Kita tidak menolak kemungkinan dia berselindung kegiatan haram itu di sebalik kedai makan bagi mengelak dikesan.
“Wanita ini mempunyai dua kerakyatan, dia berulang alik di Kelantan dan juga Thailand. Berdasarkan media sosial milik wanita berkenaan juga memaparkan kehidupan mewah dan dipercayai mendalangi kegiatan dadah sejak 2024,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, polis memburu seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan penahanan tiga individu dan rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta di Kuala Krai, minggu lalu.
Dalang sindiket berkenaan adalah seorang wanita yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan dan berpangkalan di negara jiran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, kejayaan itu hasil operasi pihaknya selama empat bulan menerusi Ops Agas yang turut mendedahkan bunga ganja dirampas itu dipercayai untuk pasaran antarabangsa.
Susulan itu, Bukit Aman memohon bantuan polis Thailand bagi mengesan Luna yang sehingga kini belum berjaya dikesan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
