TANGIERS, Maghribi – Iliman Ndiaye yang dipanggil semula membalas kepercayaan jurulatih apabila menjaringkan gol pada babak pertama untuk membantu Senegal menewaskan Mali 1-0 pada suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi tadi.
Impian Mali terjejas pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila kapten mereka Yves Bissouma dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diperintah keluar padang.
Gol tunggal perlawanan tercipta susulan kesilapan penjaga gol Mali, Djigui Diarra yang terlepas menangkap hantaran lintang sebelum Ndiaye pantas menyambar bola muntah, biarpun Diarra kemudiannya melakukan beberapa aksi menyelamat cemerlang untuk menghalang Senegal menambah jaringan.
Juara AFCON 2022 itu, yang memburu kemunculan ketiga ke final dalam empat edisi terakhir, akan berdepan sama ada juara bertahan, Ivory Coast atau juara tujuh kali, Mesir pada aksi separuh akhir.
“Saya gembira memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan, tetapi yang paling penting kami mara ke separuh akhir. Kami bermain dengan baik dan sentiasa mempamerkan peningkatan,” kata Ndiaye.
Penyerang Everton berusia 25 tahun itu sebelum ini diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, namun hanya memanaskan bangku simpanan ketika kemenangan pusingan 16 terakhir menentang Sudan enam hari lalu.
Pengendali Senegal, Pape Thiaw mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar sambil berkata: “Ia bukan perlawanan mudah menentang pasukan Mali yang berbakat. Jika kami lebih tajam di depan gol, sudah tentu lebih banyak jaringan dapat dihasilkan.”
Sementara itu, jurulatih Mali, Tom Saintfiet mengakui tugas anak buahnya menjadi lebih sukar selepas kehilangan seorang pemain.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Ia perlawanan yang sukar kerana kami terpaksa beraksi hampir separuh masa dengan 10 pemain. Saya bangga dengan apa yang dipamerkan pemain, bukan sahaja malam ini tetapi sepanjang AFCON,” katanya.
Kebuntuan perlawanan akhirnya terlerai pada minit ke-27 pada malam yang dingin dan mendung di bandar Mediterranean itu apabila Ndiaye memanfaatkan kesilapan benteng terakhir Mali untuk memastikan Senegal melangkah ke separuh akhir. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
