Hentikan Spekulasi: Keadaan Tun Dr Mahathir Stabil, Dalam Pemantauan Pakar

KUALA LUMPUR – Peguam Tun Dr. Mahathir Mohamad merujuk kepada pelbagai kenyataan, spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih yang tular di media sosial sejak semalam berhubung keadaan kesihatan mantan Perdana Menteri itu.

Rafique Rashid berkata, Tun Dr Mahathir ketika ini berada di Institut Jantung Negara (IJN) dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi daripada pasukan doktor pakar.

“Seperti telah dimaklumkan secara rasmi oleh pihak keluarga, Tun berada dalam keadaan sedar dan stabil, selain sedang melalui beberapa prosedur dan rawatan yang diperlukan.

“Pihak kami ingin menegaskan, segala maklumat rasmi berhubung keadaan kesihatan Tun hanya akan disalurkan melalui pejabat Tun Dr. Mahathir atau ahli keluarga terdekat dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang berita yang tidak disahkan, termasuk dakwaan tidak berasas kononnya Tun ditidurkan atas arahan doktor atau berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rafique, sebagai masyarakat beradab dan bertamadun, sewajarnya menghormati privasi serta perasaan keluarga pesakit.

“Adalah tidak wajar untuk membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat, lebih-lebih lagi melibatkan kesihatan seseorang.

“Pihak kami menyeru agar semua pihak menghentikan sebarang tohmahan dan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Menjawab persoalan yang timbul mengenai sebab Tun dirawat di IJN, beliau menjelaskan, walaupun IJN dikenali sebagai pusat rawatan jantung, institusi itu turut mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang perubatan lain.

Selain itu, ujarnya, mengambil kira latar belakang Tun sebagai bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali, IJN merupakan pusat rawatan utama yang sering menjadi rujukan bagi pemantauan dan rawatan kesihatannya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memaklumkan, tarikh perbicaraan kes saman fitnah yang disambung semula pada 13 Januari ini akan diteliti semula.

“Permohonan penangguhan telah dibuat oleh pihak kami dan perkara tersebut turut dimaklumkan secara rasmi kepada peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *