MSB Global perluas perniagaan alat ganti automotif di Thailand

KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh MSB Global Group Bhd, MSB Machinery Corporation (Malaysia) Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Thai Sin Anant Rubber Factory (2516) Co Ltd (TSAR) untuk menubuhkan syarikat JV di Thailand sebagai langkah pengembangan serantau kumpulan itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MSB Global berkata syarikat usaha sama itu akan menjadi pengedar tunggal alat ganti automotif di bawah jenama Gold Series di Thailand yang menumpukan kepada pengimportan, pengedaran dan penjualan komponen ampaian, penyerap kejutan dan alat ganti serta komponen automotif yang berkaitan.

“Kerjasama ini menggabungkan kepakaran produk dan rangkaian pembekal MSB Machinery yang mantap dengan kehadiran pasaran tempatan dan keupayaan operasi TSAR di Thailand,” katanya.

Di bawah perjanjian itu, syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan akan datang mempunyai modal berbayar sebanyak 5.0 juta baht, dengan TSAR memegang 81 peratus kepentingan ekuiti manakala MSB Machinery memegang baki 19 peratus.

Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo, berkata JV berkenaan mencerminkan pendekatan berdisiplin MSB Global dalam pengembangan serantau.

“Melalui kerjasama dengan pengeluar tempatan yang bereputasi serta mempunyai ilmu pasaran yang mendalam, kami dapat memasuki pasaran Thailand dengan cekap dari segi modal sambil mengekalkan pendedahan strategik kepada pertumbuhan satu daripada pasaran automotif terbesar ASEAN,” katanya.

Menurut kumpulan itu, usaha sama berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan MSB Global dari semasa ke semasa, dan dijangka tidak mempunyai kesan yang ketara terhadap modal saham atau aset bersih kumpulan.

MSB Global berkata pasaran automotif Thailand menunjukkan isyarat pemulihan, dengan jualan kereta domestik meningkat 20.65 peratus tahun ke tahun kepada 51,046 unit pada November 2025, yang dijangka menyokong permintaan bagi alat ganti automotif pasaran selepas jualan.

“Berikutan keadaan industri yang semakin baik ini, kumpulan itu yakin usaha sama yang baru ditubuhkan itu dalam kedudukan yang baik untuk menampung peningkatan permintaan terhadap komponen automotif berkualiti di bawah jenama Gold Series,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *