Dari Meja Editorial
AMERIKA Syarikat sekali lagi tampil sebagai “penjaga moral dunia”, satu peranan yang semakin hari semakin sukar dipercayai, apatah lagi dihormati.
Presidennya, Donald Trump dengan penuh keyakinan memberi amaran, Washington bersedia bertindak jika Iran menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Kenyataan ini, seperti biasa, dibungkus dengan retorik hak asasi manusia, seolah Amerika adalah contoh terbaik dalam mempertahankan nilai tersebut.
Namun, persoalannya mudah dan tidak pernah terjawab: sejak bila Amerika Syarikat benar-benar konsisten membela nyawa manusia?
Trump mendakwa AS tidak akan berdiam diri jika penunjuk perasaan aman menjadi mangsa keganasan, tetapi dunia menyaksikan sendiri bagaimana Amerika berdiam diri, malah menjadi penyokong paling setia ketika Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Hospital dibom, sekolah musnah, kanak-kanak ditarik keluar dari runtuhan dan Gaza dijadikan tanah perkuburan terbuka. Dalam tragedi kemanusiaan itu, Amerika bukan sekadar berdiam diri, ia membekalkan senjata, melindungi Israel di pentas antarabangsa dan memvetokan sebarang usaha untuk menghentikan kekejaman tersebut.
Di sinilah hipokrasi Washington terserlah tanpa sebarang selindung. Nyawa penunjuk perasaan di Iran kononnya begitu berharga, tetapi nyawa rakyat Palestin dianggap statistik yang boleh dikorbankan demi kepentingan geopolitik.
Hak asasi manusia, dalam kamus Amerika, bukan prinsip sejagat. Ia hanya alat politik yang digunakan mengikut kesesuaian musuh dan sekutu.
Lebih sinis, Amerika sendiri adalah arkitek kepada penderitaan ekonomi yang sedang melanda Iran. Sekatan antarabangsa yang dipelopori Washington telah melumpuhkan ekonomi negara itu, menyebabkan inflasi melambung, mata wang menjunam dan kos sara hidup menekan rakyat.
Apabila rakyat bangkit memprotes kesusahan hidup yang dicipta oleh sekatan tersebut, Amerika pula muncul dengan wajah penuh simpati, kononnya prihatin terhadap kebajikan mereka.
Ini bukan kebetulan. Ini adalah skrip lama yang telah dimainkan berulang kali, baik di Iraq, Syria, Libya, Venezuela dan banyak lagi. Cipta tekanan melalui sekatan, biarkan ketidakstabilan berlaku, kemudian jadikan kekacauan itu sebagai alasan untuk campur tangan. Apabila negara hancur, Amerika akan berlepas tangan, meninggalkan rakyat tempatan membayar harga yang mahal.
Kenyataan Trump, kononnya Amerika “akan tampil membantu” juga perlu dibaca dengan cermat. Bantuan versi Amerika jarang datang dalam bentuk keamanan atau kesejahteraan. Ia sering hadir sebagai campur tangan politik, operasi ketenteraan, manipulasi dalaman dan perpecahan masyarakat.
“Bantuan” inilah yang telah menukar banyak negara menjadi medan perang proksi dan menjadikan generasi rakyatnya hidup dalam trauma berpanjangan.
Tidak menghairankan apabila pemimpin Iran menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya. Sejarah membuktikan, setiap kali Amerika mendakwa bertindak demi demokrasi, hasilnya ialah ketidakstabilan yang lebih parah.
Amaran daripada Ali Larijani dan Ali Shamkhani bukan sekadar retorik; ia refleksi pengalaman pahit negara-negara yang pernah “dibantu” oleh Washington.
Lebih memburukkan keadaan, Amerika langsung tidak memiliki legitimasi moral untuk bercakap soal keganasan terhadap penunjuk perasaan. Dari tindak balas keras terhadap protes di dalam negaranya sendiri, hingga sokongan terhadap rejim-rejim autoritarian selagi mereka sehaluan dengan kepentingan AS, Washington telah lama menunjukkan prinsipnya boleh dibeli dan dijual.
Hakikatnya, keangkuhan Amerika berpunca daripada kepercayaan ia kebal daripada dipersoalkan. Namun, dunia sedang berubah. Negara-negara kini semakin berani mencabar naratif Barat dan menelanjangkan kemunafikan kuasa besar yang selama ini bersembunyi di sebalik slogan kebebasan dan demokrasi.
Jika Amerika benar-benar prihatin terhadap hak asasi manusia, langkah pertama bukanlah mengancam Iran atau negara lain, tetapi menghentikan sokongan terhadap penjajahan dan pembunuhan di Palestin, menarik balik sekatan yang menghukum rakyat biasa dan berhenti bermain tuhan dalam urusan negara berdaulat.
Selagi Washington terus bercakap mengenai kemanusiaan sambil tangannya sendiri berlumuran darah, setiap kenyataan moral dari Rumah Putih hanyalah sindiran paling kejam terhadap nilai yang kononnya mereka pertahankan.
Dunia tidak memerlukan lagi pengajaran daripada negara yang gagal bercermin. Yang diperlukan ialah keadilan sebenar, bukan keangkuhan yang disadur dengan kata-kata indah. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
