Ulangan Yang Menghidupkan Makna: Dua Naskhah, Jiwa Dan Peradaban

Dari Meja Editorial

DI TENGAH deras arus penerbitan tahun 2025, ketika rak-rak buku dibanjiri judul baharu yang berlumba-lumba menagih perhatian, dua naskhah ini memilih laluan yang lebih sunyi.

Mereka tidak menumpang label “bacaan baharu”, sebaliknya kembali sebagai ulangan, namun ulangan yang tidak pernah kehilangan denyut. Kelunakan isinya tidak lusuh dimakan masa, bahkan semakin matang, seiring perubahan usia dan pengalaman pembacanya.,

Membaca, dalam erti yang lebih dalam, bukan sekadar mencari yang terbaharu. Ada buku yang fungsinya bukan untuk dihabiskan, tetapi untuk didiami.

Buku-buku seperti inilah yang menjadi pedoman sepanjang hayat, dibuka semula pada persimpangan hidup yang berbeza, lalu berbicara dengan suara yang juga berbeza. Setiap ulangan bacaan bukan pengulangan makna, tetapi kelahiran tafsiran baharu.

Excellence without a Soul tampil sebagai sebuah karya yang bersifat penegasan dan peringatan. Ia berbicara dengan nada tenang tetapi mengesankan, mengingatkan bahawa obsesi terhadap kecemerlangan, jika dipisahkan daripada nilai jiwa dan kemanusiaan akan melahirkan kekosongan.

Buku ini seolah bertanya: apakah makna kejayaan jika manusia di dalamnya terabai? Di sinilah ia berdiri sebagai amaran yang berpanjangan, bahawa tugas pendidikan bukan hanya melahirkan individu cemerlang, tetapi membentuk insan yang bererti.

Pendidikan, menurut roh karya ini, ialah proses memanusiakan manusia dan menginsankan insan, sebuah misi yang sering tenggelam dalam perlumbaan angka, ranking dan pengiktirafan.

Sementara itu, Shapers of Islam in Southeast Asia karya Prof. Dr. Syed Khairudin Aljunied membuka jendela yang lebih luas, ke ranah sejarah, pemikiran dan pembentukan peradaban Islam di Asia Tenggara.

Buku ini tidak sekadar menyusun nama dan peristiwa, tetapi menampilkan wajah-wajah intelektual yang membentuk landskap keilmuan dan sosial rantau ini.

Antara tokoh diketengahkan ialah Prof. Dr. Ahmad Ibrahim, pakar undang-undang yang kewibawaannya tidak memerlukan pengenalan panjang serta Dr. Dzakiah Darajat, tokoh psikologi Islam yang keberanian ilmunya mendahului zaman.

Dr. Dzakiah Darajat khususnya hadir sebagai sosok yang terus mengundang pencarian. Dalam konteks zamannya, bidang psikologi Islam yang beliau terokai merupakan wilayah yang jarang diceburi wanita.

Keilmuan beliau bukan sahaja mencabar batas tradisi, tetapi membuka ruang baharu bagi pemahaman jiwa dan agama. Hingga kini, usaha menjejaki bahan dan tulisan beliau masih diteruskan, seolah ilmunya sendiri mengajak untuk tidak berhenti mencari.

Buku Shapers of Islam in Southeast Asia ini pula tidak kekal di rak peribadi. Ia dibawa bersama dalam kunjungan ke SMKA di seluruh negara, dibacakan dan dikongsikan dengan anak-anak menjadikan buku sebagai jambatan antara generasi.

Di situ, sejarah tidak dibiarkan menjadi cerita lampau, tetapi dihidupkan sebagai inspirasi untuk masa depan.

Kedua-dua naskhah ini menuntut kesabaran. Ia bukan bacaan pantas yang boleh dilalui sambil lalu. Setiap halaman memerlukan renungan, kerana ketika mata membaca, fikiran dan jiwa turut melangkah masuk ke alam yang dibentangkan.

Membaca buku-buku ini ibarat menyelam, semakin dalam, semakin banyak yang ditemui.

Dan mungkin di situlah keistimewaannya: buku-buku ini tidak sekadar dibaca, tetapi dialami. Ia mengajar bahawa dalam dunia yang sentiasa mengejar yang baharu, ada nilai yang hanya dapat ditemui melalui ulangan, melalui kesetiaan untuk kembali, berfikir, dan merenung semula makna menjadi manusia. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *