Kertas siasatan SD sokong Muhyiddin jadi PM dirujuk kepada AGC - Saifuddin

Muhyiddin Letak Jawatan Pengerusi PN, Episod Baharu Politik Pembangkang Bermula

SHAH ALAM – Landskap politik pembangkang negara memasuki fasa baharu apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), satu keputusan yang dilihat sebagai kemuncak kepada ketegangan dalaman berpanjangan khususnya melibatkan hubungan Bersatu dan PAS.

Pengumuman peletakan jawatan itu dibuat secara tertutup menerusi saluran dalaman parti pada malam tadi, namun implikasinya segera merebak ke seluruh arena politik nasional.

Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri itu difahamkan memaklumkan keputusannya melalui kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ia disahkan oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.

Walaupun ringkas dari segi pengumuman, keputusan Muhyiddin itu membawa makna besar kepada PN yang kini berdepan persoalan serius mengenai kepimpinan, hala tuju dan masa depan gabungan tersebut.

Menurut sumber dalaman parti, hasrat Muhyiddin untuk berundur bukanlah keputusan yang dibuat secara spontan, sebaliknya dilaporkan telah menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan itu lebih awal, namun menerima bantahan daripada sebahagian ahli MPT yang mahunya kekal sebagai Pengerusi PN demi kestabilan gabungan.

Bagaimanapun, selepas perbincangan dalaman yang berlarutan, Muhyiddin akhirnya memuktamadkan keputusannya pada lewat malam dan meminta kepimpinan parti menerima pendiriannya itu.

Langkah itu menggambarkan pendirian tegas beliau bahawa krisis semasa PN memerlukan pengorbanan politik di peringkat tertinggi dan pengundurannya tidak dapat dipisahkan daripada krisis politik di Perlis yang mencetuskan ketegangan luar biasa antara Bersatu dan PAS.

Tindakan pemimpin Bersatu di negeri itu, yang didakwa PAS sebagai usaha “rampasan kuasa”, membawa kepada hilangnya penguasaan PAS ke atas kerajaan negeri dan seterusnya perletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Perkembangan itu membuka luka lama dalam hubungan dua parti teras PN, dengan pertukaran tuduhan dan kekecewaan terbuka mula dizahirkan oleh pemimpin kedua-dua pihak.

PAS secara terbuka memberi isyarat bahawa mereka sedang menilai semula kedudukan dalam PN, termasuk kemungkinan meninggalkan gabungan itu atau mengambil alih kepimpinan tertinggi.

Desakan agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada PAS juga bukan perkara baharu, malah telah disuarakan oleh beberapa pemimpin kanan dan sayap parti tersebut sebelum ini.

Krisis Perlis dilihat sebagai pemangkin yang mempercepatkan tuntutan berkenaan dan menariknya, peletakan jawatan Muhyiddin turut mendedahkan perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan pimpinan Bersatu sendiri.

Sebahagian ahli MPT berpandangan Muhyiddin masih figura paling sesuai memimpin PN dan pengundurannya hanya akan melemahkan gabungan itu.

Sebaliknya, terdapat juga suara dalam parti yang melihat PAS sebagai pihak yang perlu membuat keputusan muktamad, sama ada kekal dalam PN dengan disiplin gabungan atau meneruskan agenda sendiri bersama UMNO melalui kebangkitan semula Muafakat Nasional (MN).

Malah, ada pandangan strategik dalam Bersatu yang beranggapan PN mungkin lebih fleksibel dan inklusif tanpa PAS, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan parti lain seperti MCA, MIC dan rakan gabungan baharu di bawah payung Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

Pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi PN kini meletakkan gabungan itu di persimpangan genting. Persoalan besar timbul mengenai siapakah yang mampu menyatukan parti-parti komponen, meredakan konflik dalaman dan pada masa sama meyakinkan rakyat bahawa PN masih relevan sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.

Tanpa penyelesaian tuntas terhadap isu kepimpinan dan hala tuju, PN berisiko terus dibelenggu perbalahan dalaman yang boleh menjejaskan sokongan akar umbi, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.

Walaupun Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu, langkah beliau berundur daripada jawatan Pengerusi PN jelas memberi isyarat era kepimpinan sedia ada telah sampai ke penghujungnya.

Sama ada ia menjadi titik permulaan kepada pembaharuan atau permulaan kepada perpecahan lebih besar, bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan kepimpinan PN selepas ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *