SHAH ALAM – Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya telah lama disuarakan secara konsisten, menurut Tan Sri Annuar Musa.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Muhyiddin berulang kali menyatakan kesediaannya untuk berundur, termasuk ketika pertemuan mereka di London, malah hasrat tersebut disebut tidak kurang daripada lima kali.
Menurut Annuar, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhyiddin turut memberi bayangan bahawa peletakan jawatan itu boleh berkuat kuasa seawal 1 Januari 2026.
“Ketika saya berada di United Kingdom atas jemputan Kelab Pas UK, saya singgah di London dan bertemu beliau. Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan dengan jelas bahawa jika Pas bersedia memimpin PN, beliau sedia melepaskan jawatan pada bila-bila masa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Annuar berkata, Muhyiddin turut memberi kepercayaan kepadanya untuk memaklumkan perkara tersebut kepada kepimpinan Pas, namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian atas faktor disiplin organisasi.
Perkembangan itu sekali gus menepis dakwaan bahawa peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkait secara langsung dengan kemelut politik di Perlis.
Sebelum ini, isu politik negeri itu tercetus susulan dakwaan wujud akuan bersumpah (SD) yang menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Situasi tersebut membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri dan pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar baharu.
Muhyiddin kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Menurut Annuar, tindakan Muhyiddin itu perlu dilihat sebagai langkah berprinsip dan berjiwa besar, bukannya reaksi terhadap tekanan politik semasa.
“Beliau adalah pengasas gagasan PN dan mempunyai kejelasan pemikiran terhadap hala tuju gabungan ini. Tindakan berundur secara sukarela dan memberi ruang kepada kepimpinan baharu mencerminkan sikap seorang negarawan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pas telah menyatakan kesediaan untuk mengambil tanggungjawab memimpin PN sekiranya diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Dalam pada itu, Annuar menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi berlebihan dan mengutamakan pendekatan dialog secara berhemah demi kestabilan politik negara.
“Kematangan dan kebijaksanaan perlu diutamakan, bukan emosi,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L