KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis berdepan fasa penyusunan semula pentadbiran apabila semua baki empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah itu diambil susulan pendirian Pas yang enggan menyertai barisan Exco negeri di bawah kepimpinan beliau, seperti diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurut Abu Bakar, pelantikan ADUN Bersatu itu adalah selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dan sah dari segi perlembagaan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan akan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada kepimpinan tertinggi Bersatu di peringkat pusat sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Kita kini tidak mempunyai banyak pilihan. Selain saya sebagai Menteri Besar, hanya empat lagi ADUN Bersatu yang menang pada PRU-15.
“Maka adalah wajar dan perlu untuk mereka diberi peranan bagi meneruskan perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar,” katanya.
Beliau menegaskan, bilangan minimum Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ialah empat orang, dan dengan penyertaan Menteri Besar, jumlah tersebut mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang berfungsi sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan tiga ADUN yang telah digugurkan keahlian Pas akan dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Exco, sekiranya mereka masih kekal sebagai ADUN dan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan masing-masing.
Sebelum ini, Takiyuddin dalam kenyataan menegaskan, Pas tidak akan menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang baharu dibentuk.
Malah, semua Exco daripada Pas turut diarahkan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti terhadap peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Walaupun mengambil pendirian tersebut, Pas menegaskan komitmennya untuk terus menyokong kestabilan Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L