KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah belah Hektar menyemarakkan sambutan Krismas tahun ini dengan penganjuran kempen ‘Elf Builders Christmas’ di seluruh rangkaian pusat beli-belah kendaliannya di seluruh negara, sekali gus memperkenalkan Kelab Kanak-kanak Hoppers sebagai platform penglibatan keluarga muda secara berterusan.
Kempen berteraskan komuniti itu berlangsung sepanjang cuti sekolah akhir tahun dengan menampilkan pelbagai aktiviti kreatif dan interaktif termasuk bengkel Elf Builders, sesi permainan kanak-kanak, persembahan perayaan serta hiasan bermusim yang mewujudkan suasana mesra keluarga dan komuniti.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, penganjuran kempen tersebut mencerminkan komitmen berterusan Hektar REIT dalam menjadikan pusat beli-belah sebagai ruang lebih bermakna kepada masyarakat, bukan sekadar lokasi urus niaga.

“Di Hektar REIT, kami melihat pusat beli-belah sebagai tempat keluarga berkumpul, kanak-kanak belajar dan komuniti berhubung.
“Kempen ‘Elf Builders Christmas’ ini direka untuk mewujudkan pengalaman perayaan yang bermakna kepada pengunjung, di samping menyokong penyewa kami ketika tempoh runcit utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelancaran Kelab Kanak-kanak Hoppers pula bertujuan membina hubungan jangka panjang dengan keluarga muda melalui aktiviti pembelajaran berasaskan permainan dalam persekitaran yang selamat dan inklusif.

“Hoppers membolehkan kami terus berinteraksi dengan keluarga melangkaui musim perayaan. Ia sejajar dengan aspirasi kami untuk membangunkan destinasi beli-belah yang mesra, meriah dan inklusif untuk komuniti yang kami layani,” jelasnya.
Antara tarikan utama kempen itu termasuk Alpaca Walkabout dan pengalaman salji dalaman di Subang Parade, bengkel menghias biskut dan aktiviti kraf Krismas di Mahkota Parade serta pelbagai pertandingan kreatif kanak-kanak di pusat beli-belah Hektar lain di seluruh negara.
Selain memeriahkan suasana perayaan, inisiatif itu turut menyokong pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hektar REIT dengan penglibatan sekolah tempatan, penduduk setempat dan kumpulan komuniti dalam persembahan serta bengkel, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dan keterangkuman.

Kempen ‘Elf Builders Christmas’ akan berlangsung sepanjang Disember 2025, dengan maklumat lanjut mengenai aktiviti dan penyertaan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi setiap Pusat Beli-belah Hektar.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L