PUTRAJAYA – Seramai 31 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myawaddy, Myanmar, telah berjaya dibawa pulang dan tiba dengan selamat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada petang Sabtu.
Kementerian Luar memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa kumpulan berkenaan tiba sekitar jam 6.50 petang sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan seterusnya.
Menurut kementerian, proses penghantaran pulang itu direalisasikan melalui kerjasama erat Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon, sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan penipuan dalam talian.
Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS), Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas bantuan dan kerjasama yang diberikan bagi mempercepatkan proses kepulangan kesemua 31 rakyat Malaysia itu.
Difahamkan, mereka adalah antara beberapa warga asing yang diselamatkan pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras kegiatan penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy baru-baru ini. Identiti mereka telah disahkan lebih awal oleh pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
Walau bagaimanapun, kepulangan mereka tidak dapat dilakukan serta-merta kerana kesemua individu terlibat berdepan kesalahan imigresen akibat kemasukan secara tidak sah. Hasil rundingan berterusan pihak kedutaan bersama Imigresen Tak, Thailand, kumpulan tersebut akhirnya dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada 19 Disember.
Selepas dibebaskan, mereka disambut oleh pegawai kedutaan di Bangkok sebelum dibawa pulang ke Malaysia melalui jalan darat menerusi Bukit Kayu Hitam.
Kementerian Luar turut memaklumkan bahawa bantuan konsular menyeluruh telah disediakan, termasuk memaklumkan keluarga mangsa, menguruskan dokumen perjalanan sementara, penyelarasan logistik, penyediaan keperluan asas serta iringan sepanjang perjalanan selama kira-kira 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Kedah.
Kementerian menegaskan komitmennya untuk terus melindungi dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara serta akan memberikan bantuan konsular melalui perwakilan diplomatik apabila diperlukan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L