BANGKOK – Kontinjen Malaysia semakin hampir mencapai sasaran keseluruhan 200 pingat pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila hanya lapan pingat lagi diperlukan menjelang baki tiga hari terakhir temasya dwitahunan itu.
Setakat ini, atlet negara telah mengumpul 192 pingat merangkumi 41 emas, 45 perak dan 106 gangsa, sekali gus mengekalkan momentum positif serta berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
Aksi hari ini menyaksikan beberapa peluang cerah memburu pingat emas, antaranya menerusi acara memanah compound individu lelaki yang menampilkan Mohd Juwaidi Mazuki, selain penyertaan beliau dalam acara compound berpasukan lelaki.
Selain memanah, acara terjun, menembak dan berbasikal trek turut dijangka menyumbang pingat penting dalam usaha meningkatkan pungutan kontinjen negara dalam carta kedudukan keseluruhan.
Tumpuan peminat sukan tanah air turut terarah kepada perlawanan penentuan pingat gangsa bola sepak lelaki bawah 23 tahun, apabila skuad Harimau Muda dijadual berdepan Filipina di Stadium Nasional Rajamangala. Kali terakhir skuad B-23 negara menamatkan saingan di podium adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dengan meraih pingat perak.
Sementara itu, kem Malaysia meneruskan rentak cemerlang semalam apabila beberapa acara utama menghadiahkan pingat emas, termasuk pencak silat, Muay Thai, skuasy, kriket, menembak, bola jaring serta e-sukan.
Pencak silat menyumbang dua emas hasil kejayaan Ummi Mashitah Hassan dalam kategori Kelas C wanita dan Muhammad Izzul Irfan bagi Kelas D lelaki.
Dalam arena Muay Thai, Angie Yan Jia Chi mencuri tumpuan apabila menewaskan juara dunia Thailand, Thanawan Thongduang untuk meraih emas acara Waikru wanita. Dua lagi emas turut disumbangkan oleh Wassof Rumijam (54kg lelaki) dan Mohd Mikail Ghazali Zulfikar (bawah 57kg lelaki) selepas menundukkan wakil tuan rumah.
Skuad kriket lelaki negara pula memastikan emas acara T10 menjadi milik Malaysia selepas menewaskan Indonesia dalam perlawanan terakhir liga sepusingan.
Dalam sukan skuasy, Harith Danial Jefri mencipta kejayaan berganda apabila memenangi emas beregu campuran jumbo bersama Sehveetraa Kumar, sebelum bergandingan dengan Low Wa Sern untuk menjuarai acara beregu lelaki jumbo.
Kejayaan turut diteruskan dalam e-sukan apabila pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara muncul juara selepas menewaskan Filipina 4-3 dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik.
Sumbangan emas semalam dilengkapkan dengan kemenangan penembak Gan Chen Jie dalam acara 50 meter tiga posisi wanita serta kejayaan skuad bola jaring wanita yang menundukkan Singapura 52-49 pada perlawanan akhir.
Setakat jam 10 malam waktu tempatan, Thailand terus mengungguli carta pungutan pingat dengan 185 emas, 120 perak dan 79 gangsa. Indonesia berada di tempat kedua (72 emas, 85 perak, 94 gangsa), diikuti Vietnam di tangga ketiga (64, 68, 94) dan Singapura keempat (46, 42, 63).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001