Empat nama disenarai pendek UMNO Sabah bagi PRK Kinabatangan dan Lamag

KOTA KINABALU – UMNO Sabah kini berada pada fasa akhir penilaian calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, dengan empat individu dikenal pasti sebagai calon berpotensi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan, proses pemilihan calon dibuat berdasarkan maklum balas menyeluruh daripada kepimpinan akar umbi, selain penelitian terhadap ciri ‘calon boleh menang’ bagi memastikan kejayaan lebih kukuh di kedua-dua kawasan tersebut.

Menurut beliau, perbincangan berterusan bersama pimpinan tempatan menjadi asas penting sebelum sebarang keputusan muktamad dibawa ke peringkat lebih tinggi pada masa yang sesuai.

“Pandangan akar umbi diambil kira sepenuhnya dan beberapa nama telah dikenal pasti. Kita akan meneliti secara mendalam sebelum keputusan akhir dibuat,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah, di sini, malam tadi.

Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menjelaskan calon berkenaan adalah muka baharu lelaki yang diyakini mampu memberikan kemenangan lebih meyakinkan kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau turut berkata, analisis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu menjadi antara pertimbangan utama, termasuk penurunan majoriti undi di Lamag serta keadaan kesihatan penyandang kerusi sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam pada itu, Jafry memaklumkan hasrat UMNO dan BN untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan telah disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, manakala penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari dan pengundian awal pada 20 Januari. PRK ini diadakan susulan pemergian penyandangnya, Bung Moktar, pada 5 Disember lalu.

Mengulas hala tuju parti, Jafry menegaskan kepimpinan baharu UMNO Sabah akan terus mengutamakan pendekatan inklusif dan bertanggungjawab selaras dengan peranan dalam kerajaan perpaduan negeri, dengan fokus kepada pembangunan adil serta kebajikan rakyat.

Pada masa sama, beliau mengumumkan beberapa keputusan organisasi parti, termasuk mengekalkan Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak sebagai Bendahari UMNO Sabah, melantik Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi sebagai Ketua Penerangan dan Datuk Harun Durabi sebagai Penolong Setiausaha.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *