QUITO – Dunia bola sepak Ecuador dikejutkan dengan pemergian pemain kebangsaan, Mario Pineida, yang dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu insiden serangan di Guayaquil, semalam.
Kelab Barcelona SC mengesahkan berita dukacita itu menerusi satu kenyataan rasmi, memaklumkan pemain berusia 33 tahun tersebut menjadi mangsa serangan ketika berada di kawasan utara bandar berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, Pineida dipercayai ditembak di luar sebuah premis perniagaan, namun butiran lanjut berhubung kejadian itu belum didedahkan secara terperinci.
“Dengan penuh rasa sedih, Barcelona SC mengesahkan kami telah menerima makluman rasmi mengenai pemergian pemain kami, Mario Pineida, susulan serangan yang berlaku,” menurut kenyataan kelab yang dimuat naik di media sosial.
Kenyataan itu turut menyifatkan kehilangan Pineida sebagai satu tamparan besar kepada seluruh warga kelab dan komuniti bola sepak Ecuador.
Sementara itu, pihak polis Ecuador memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta suspek terlibat, namun setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.
Sepanjang kariernya, Pineida pernah berkelana di luar negara termasuk bersama kelab Brazil, Fluminense, dan merekodkan sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan Ecuador antara 2015 hingga 2021. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001