KUANTAN – Keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terserlah apabila baginda berdua berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di daerah ini, semalam.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, dimaklumkan bahawa sumbangan tersebut telah disampaikan kepada mangsa banjir oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya.
Menurut kenyataan itu, pengagihan makanan pada hari pertama melibatkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kerjasama Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang, iaitu PPS Taman Sri Mahkota dan PPS Wisma Belia, Indera Mahkota.
Sementara itu, salah seorang mangsa banjir, Nur Izzati Abdul Halim, 37, dari Perumahan Makmur Jaya meluahkan rasa terharu dan bersyukur atas keprihatinan baginda berdua, apatah lagi apabila makanan yang diterima disediakan dari dapur istana.
“Alhamdulillah, menjunjung kasih Tuanku atas rezeki ini. Kami memang tidak menyangka dapat menikmati hidangan dari dapur istana. Syukur juga kerana bekalan makanan di PPS sentiasa mencukupi, belum sempat lapar, makanan sudah tiba,” katanya yang merupakan ibu kepada tiga orang anak.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001