Anwar sifatkan kritikan terhadap bantuan Malaysia ke Gaza ketandusan nilai kemanusiaan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pandangan segelintir pihak yang mempersoalkan penyaluran bantuan Malaysia kepada Gaza, dengan menegaskan bahawa kritikan sedemikian mencerminkan ketiadaan rasa ihsan dan nilai kemanusiaan.

Menurut beliau yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, Malaysia telah menyalurkan hampir RM100 juta bantuan kemanusiaan kepada Gaza sepanjang dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, meskipun pelbagai inisiatif perdamaian antarabangsa, termasuk yang digerakkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah dilaksanakan.

Anwar menjelaskan, bantuan tersebut diberikan atas dasar kemanusiaan susulan pelanggaran berterusan gencatan senjata oleh rejim Israel serta kekejaman yang terus menimpa penduduk Palestin.

“Pelanggaran perjanjian berlaku berulang kali, ratusan kali. Kanak-kanak dan wanita terus menjadi mangsa, manakala masjid serta gereja turut dimusnahkan,” katanya ketika berucap pada Taklimat Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj. Taklimat tersebut disertai 92 wakil media dari dalam dan luar negara.

Perdana Menteri turut menegaskan pendirian konsisten Malaysia untuk terus menyokong Gaza, bukan hanya melalui bantuan kemanusiaan, malah dengan menggunakan platform politik bagi mempertahankan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berkongsi bahawa dalam pertemuannya dengan Donald Trump semasa menaiki kenderaan rasmi Cadillac One atau ‘The Beast’ pada akhir Oktober lalu, beliau telah menjelaskan secara berhemah pendirian Malaysia berhubung isu Gaza dan Palestin.

“Saya terangkan mengapa Malaysia kekal mempertahankan hak Gaza dan Palestin serta sebab sokongan ini tidak pernah berubah. Tiada reaksi marah daripada beliau, namun masih ada suara-suara yang mempertikai, dan saya sukar memahami bagaimana isu agama dan kemanusiaan boleh dibicarakan tanpa rasa perikemanusiaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan bahawa Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, telah mengundangnya menghadiri Sidang Pemulihan dan Pembangunan Semula Gaza di Mesir. Namun, sidang berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan kesukaran mendapatkan korum pemimpin dunia Arab dan Islam pada penghujung tahun.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *