KUALA LUMPUR – Konvensyen 153 yang berlangsung pada 13 Disember lalu menjadi medan peringatan keras bahawa isu kelangsungan orang Melayu dan Bumiputra tidak boleh terus ditangani melalui pidato dan resolusi semata-mata, sebaliknya memerlukan keberanian politik serta kepimpinan berintegriti, tegas dan sanggup berkorban.
Presiden Parti PUTRA, Datuk Ibrahim Ali dalam kenyataan pasca konvensyen berkata, ucapan perasmian oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad serta pembentangan Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah telah menghuraikan secara mendalam makna Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan serta cabaran sebenar yang dihadapi orang Melayu hari ini.
Namun, menurut beliau, konvensyen, seminar dan simposium mengenai Melayu dan Fasal 153 telah diadakan sejak puluhan tahun lalu tanpa membawa perubahan ketara.
“Yang berubah hanya poster dan slogan, sedangkan nasib orang Melayu kekal di takuk lama.
“Orang Melayu tidak ketandusan idea atau tenaga berpendidikan, tetapi kekurangan keberanian untuk membayar harga perjuangan.
“Perjuangan pula sering berakhir sebagai acara ritual yang kosong kerana keengganan menanggung risiko dan tekanan,” katanya.
Beliau menyifatkan kebangkitan isu Melayu kebelakangan ini sebagai reaksi panik akibat kehilangan kuasa, bukan hasil penemuan hala tuju baharu.
“Ketika berkuasa, Melayu disuruh bersabar. Apabila kuasa hilang, barulah laungan perjuangan dilaungkan,” katanya.
Mengimbau pengalaman peribadi, Ibrahim berkata, beliau telah terlibat dalam perjuangan kepentingan Bumiputra sejak menjadi pemimpin pelajar ITM pada 1972.
Beliau mengingatkan peristiwa demonstrasi besar pelajar ITM pada 1974 yang membawa kepada penutupan kampus dan penahanan lebih seribu pelajar sebagai contoh harga sebenar perjuangan, yang akhirnya menyumbang kepada penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 1999.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas ini turut menyinggung peranan PERKASA yang ditubuhkan pada 2008 sebagai wadah tekanan politik untuk memastikan agenda Melayu dan Bumiputra kekal di tengah dasar nasional.
Namun, katanya, pengalaman tersebut mengajar bahawa resolusi tanpa kuasa politik hanya berakhir sebagai dokumen arkib.
Antara tuntutan utama yang diulangi Ibrahim termasuk cadangan penubuhan Dana RM10 bilion setahun bagi tempoh lima tahun untuk pemilikan harta Bumiputra, pengembalian Tanah Rizab Melayu kepada paras 50 peratus, pemartabatan Bahasa Kebangsaan melalui sistem pendidikan satu aliran serta penegasan bahawa biasiswa, lesen dan kuota merupakan hak di bawah Fasal 153.
Beliau juga mengkritik dasar kesamarataan yang menurutnya tidak seimbang, apabila umat Islam dan Bumiputra bergantung kepada peruntukan terhad, sedangkan sektor lain yang dikuasai bukan Melayu mencatat putaran perniagaan berbilion ringgit.
Menurut Ibrahim, kemerosotan UMNO dalam memperjuangkan agenda Melayu membawa kepada penubuhan Parti PUTRA sebagai usaha terakhir menyambung kesinambungan perjuangan bangsa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap landskap politik semasa yang disifatkan cenderung kepada liberalisme dan pluralisme serta bertentangan dengan semangat Fasal 153.
Dalam kenyataan itu, Ibrahim menegaskan keperluan memastikan persempadanan kawasan pilihan raya mengambil kira komposisi kaum, kerusi Melayu dan Bumiputra kekal selari peratusan penduduk, selaras dengan Perlembagaan.
“Sejarah tidak boleh ditipu dengan slogan dan tepukan. Ia akan mencatat siapa yang benar-benar berjuang dan siapa yang hanya berlakon,” katanya sambil menyeru orang Melayu bersatu dan berjuang sebelum terlambat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
