SYDNEY – Keberanian luar biasa seorang peniaga buah-buahan di Sydney mencuri perhatian dunia apabila beliau bertindak pantas melumpuhkan seorang penyerang bersenjata dalam tragedi tembakan di Pantai Bondi, Ahad lalu.
Dalam kejadian yang meragut 16 nyawa dan lebih 40 individu cedera itu, lelaki berusia 43 tahun, Ahmed al-Ahmed, tampil mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan orang awam.
Beliau dilaporkan menyerang dari arah belakang dan berjaya merampas senapang daripada salah seorang penyerang yang sedang melepaskan tembakan ke arah orang ramai ketika sambutan Hanukkah.
Rakaman video yang tular memaparkan Ahmed, berbaju-T putih, mengejar suspek sebelum bergelut dan menguasai senjata berkenaan.
Selepas situasi berjaya dikawal, beliau menghalakan senapang ke arah penyerang, kemudian meletakkannya di bawah sepohon pokok dan mengangkat kedua-dua tangan sebagai tanda beliau bukan ancaman kepada pihak berkuasa.
Dalam usaha berani itu, Ahmed turut mengalami kecederaan parah apabila ditembak dua kali. Beliau kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.
Tindakan beraninya menerima pujian meluas, termasuk daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyifatkan Ahmed sebagai seorang “lelaki hebat” kerana keberaniannya mempertahankan nyawa orang lain.
Pihak berkuasa mengesahkan seorang daripada penyerang maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi berjaya ditahan dan kini menerima rawatan di hospital.
Tragedi ini mengundang rasa terkejut dan dukacita di seluruh Australia, dengan para pemimpin negara menggesa rakyat agar kekal bersatu dan saling menyokong dalam menghadapi detik sukar ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
