Sabitan penjara Clare Rewcastle Brown dibatalkan, kes perlu dibicarakan semula

PETALING JAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini, membatalkan sabitan serta hukuman penjara dua tahun yang dikenakan ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung kes fitnah melibatkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hakim Radzi Harun memutuskan, sabitan tersebut tidak sah dari segi undang-undang kerana tertuduh sepatutnya hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan jenayah. Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan kes berkenaan dibicarakan semula.

Menurut beliau, mahkamah sebelum ini telah tersilap apabila menggunakan Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran tertuduh, sedangkan peruntukan itu tidak sesuai digunakan dalam keadaan kes ini.

Hakim turut mengambil kira hakikat waran tangkap tidak pernah diserahkan kepada Rewcastle Brown yang berada di United Kingdom, selain ketiadaan perjanjian ekstradisi rasmi antara Malaysia dan negara tersebut.

Sebelum ini, pada 7 Februari 2024, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Rewcastle Brown selepas beliau disabitkan kesalahan memfitnah Sultanah Nur Zahirah melalui bukunya berkaitan 1MDB, The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kes ini berpunca daripada saman sivil difailkan Sultanah Nur Zahirah pada 2018 dengan tuntutan RM300 juta, susulan dakwaan kandungan buku tersebut memberi gambaran baginda terlibat dalam amalan rasuah, mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1MDB.

Sultanah turut mendakwa kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai membantu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low memperoleh peranan sebagai penasihat TIA.

Dalam pembelaannya, Rewcastle Brown menegaskan berlaku kesilapan tidak disengajakan apabila beliau tersalah mengenal pasti individu dirujuk dalam kenyataan tersebut, yang sepatutnya merujuk kepada adinda Sultan, bukannya Sultanah.

Bagaimanapun, dari sudut sivil, Mahkamah Persekutuan pada September lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Rewcastle Brown bersama dua pihak lain bertanggungjawab memfitnah Sultanah Nur Zahirah, selain memerintahkan kos RM15,000 dibayar kepada baginda.

Terdahulu, pada 12 Disember 2023, Mahkamah Rayuan mengarahkan Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd membayar ganti rugi RM300,000 secara tanggungan bersama serta kos RM120,000 kepada Sultanah Nur Zahirah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *