Oleh: Jais Abdul Karim

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum perkembangan terkini prosiding di Mahkamah Persekutuan melibatkan rayuan pendakwaan dalam kes bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, termasuk keputusan mahkamah memberikan tempoh “cooling-off”selama seminggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menilai semula kedudukan masing-masing.
MCW berpandangan, langkah Mahkamah Persekutuan ini, walaupun jarang berlaku, perlu difahami sebagai satu isyarat kehakiman yang menekankan prinsip tanggungjawab, kewibawaan dan kebijaksanaan dalam pendakwaan, khususnya pada peringkat mahkamah tertinggi negara.
i. Isyarat Mahkamah Bukan Keputusan, Tetapi Penegasan Prinsip
MCW ingin menegaskan, tindakan Mahkamah Persekutuan tersebut bukan petunjuk kepada keputusan akhir, sama ada untuk mensabitkan atau mengekalkan pembebasan. Sebaliknya, ia adalah peringatan bahawa rayuan jenayah tidak wajar diteruskan secara teknikal, tetapi perlu berasaskan kekuatan undang-undang dan kepentingan keadilan awam.
ii. Budibicara Pendakwaan Perlu Digunakan Secara Bertanggungjawab
MCW menghormati peranan dan kebebasan Pendakwa Raya. Namun, pada masa sama, kuasa budi bicara pendakwaan membawa tanggungjawab besar, terutamanya apabila sesuatu kes berada di Mahkamah Persekutuan dan berpotensi membentuk preseden undang-undang negara.
Pendakwaan perlu menilai secara jujur sama ada wujud bukti mencukupi untuk membuktikan niat jenayah dan manfaat peribadi; atau isu yang timbul lebih menjurus kepada kegagalan tadbir urus dan pelanggaran prosedur dalaman.
iii. Perbezaan Antara Rasuah dan Salah Tadbir Urus Tidak Wajar Dikaburkan
MCW menegaskan, tidak semua pelanggaran prosedur kewangan secara automatik merupakan rasuah jenayah, walaupun ia tetap serius dan tidak boleh diterima. Dalam masa sama, MCW juga menegaskan, wang pertubuhan atau parti bukan milik peribadi mana-mana individu, dan sebarang pengeluaran dana tanpa kelulusan sah boleh menimbulkan unsur pecah amanah yang perlu dinilai dengan teliti.
iv. Kepentingan Keyakinan Awam dan Mesej Kepada Masyarakat
MCW mengambil serius kebimbangan, apa jua keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan membawa implikasi besar kepada persepsi awam terhadap integriti pengurusan dana organisasi dan parti politik; serta standard akauntabiliti pemimpin awam, khususnya pemimpin muda.
3. Oleh itu, keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, tetapi perlu dilihat ditegakkan, dengan alasan penghakiman yang jelas, telus dan berprinsip.
4. MCW Menyeru Semua Pihak Menghormati Proses Kehakiman
MCW menyeru semua pihak agar tidak membuat kesimpulan awal, tidak mempolitikkan proses kehakiman, dan memberi ruang sepenuhnya kepada Mahkamah Persekutuan untuk menjalankan tugasnya secara bebas dan profesional.
5. MCW kekal konsisten bahawa perjuangan menentang rasuah mesti berpaksikan keadilan, kebenaran, dan reformasi sistem, bukan emosi, sentimen politik atau pemburuan individu.
Penulis, Jais Abdul Karim adalah Presiden MCW
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001